FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Hadzlihady Hassan


AMBIL syabu untuk berjaga malam, itulah pengakuan selamba seorang ‘mat despatch’ (penghantar surat) ketika ditahan polis di susur keluar Jalan Baru menuju Perai Jaya, Bukit Mertajam, 5 pagi kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan tiga anggota polis sedang melakukan rondaan selepas mengesan dia memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi syabu disimpan suspek.

“Semakan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun tidak tersenarai sebagai orang dikehendaki, dia juga positif Methamphetamine.

“Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Difahamkan, suspek bekerja penghantar surat memberitahu mengambil syabu kerana mahu berjaga malam sekali gus memudahkan dia melakukan kerja.

Sementara itu, dua lelaki berusia 20-an ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Machang Bubok, kelmarin, ketika sedang khayal selepas mengambil dadah.

Dalam serbuan 5.45 petang itu, polis merampas heroin dan peralatan menghisap dadah seperti kertas timah, pemetik api dan gunting.

Nik Ros Azhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek terbabit memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan mereka kini ditahan di lokap untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:14 PM