ANGGOTA bomba bertungkus lumus menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba bertungkus lumus menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Lelaki, 39, parah dalam kemalangan yang berpunca daripada sebuah kereta yang melarikan diri daripada ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Permatang Tinggi, jam 6.20 petang semalam.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun bersama rakannya berusia 21 tahun dikejar penguatkuasa JPJ dari Simpang Ampat ke arah Bukit Mertajam.

Difahamkan, sebaik melalui Jalan Permatang Tinggi, kereta itu membuat pusingan 'U' secara tiba-tiba menyebabkan kereta mangsa jenis Proton Saga warna hitam dari arah bertentangan (Bukit Tengah) tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan kereta jenis Proton Wira itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa parah dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital Seberang Jaya, manakala suspek yang memandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pegawainya yang tiba dilokasi kejadian sejurus kemalangan mendapati suspek cuba melarikan diri sebelum pemeriksaan yang dilakukan menemui satu beg kecil di pinggang suspek berisi dadah.

Beliau berkata,polis menemui dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 17.3 gram (gm), enam paket plastik berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu (7.5 gm) dan satu balutan kertas berisi daun kering disyaki dadah jenis ganja (2gm) bersama suspek.

"Polis juga menemui peralatan menghisap dadah dan kesemua dadah dan barangan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT).

"Polis menyiasat kes kemalangan berkenaan mengikut Seksyen 43(1)(A)Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala suspek ditahan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Sek 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 10:33 AM