PENDUDUK mengemas rumah selepas banjir surut di Paya Garuk, Jerantut.
PENDUDUK mengemas rumah selepas banjir surut di Paya Garuk, Jerantut.
Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali

Shah Alam: Demi meringankan beban mangsa banjir sekitar Pahang, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mengambil inisiatif menjadi penganjur misi bantuan banjir ‘Kami Bersama Anda’ bertujuan mengumpul sebanyak mungkin barangan keperluan.

Usaha itu mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Nestle Product Sdn Bhd menjadi penyumbang utama.

Sumbangan juga diperoleh daripada guru-guru SMK Subang Bestari yang turut prihatin.

Program ini mendapat perhatian orang ramai hasil pengumuman melalui media cetak, eletronik dan sosial.

Barangan keperluan sumbangan orang ramai itu akan dikumpul di hadapan kaunter tiket Stadium Shah Alam hari ini sebelum dihantar ke Pahang keesokannya.

Petugas terdiri dalam kalangan ahli dan pemain bola sepak SAM sendiri yang akan menguruskan pengumpulan barangan itu sebelum dihantar ke lokasi bencana alam.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa (gambar) berkata, pihaknya turut terpanggil menggerakkan program bantuan dan merasai keperitan semua mangsa banjir.

“Ini salah satu program kemasyarakatan SAM untuk bersama-sama dengan rakyat Malaysia berganding bahu membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Pengarah Projek Hafizal Hamad berkata, melihat kesengsaraan mangsa banjir, SAM dengan ikhlas membantu meringankan beban mereka.

“Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan boleh ke Stadium Shah Alam selepas jam 3 petang esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:37 AM