Pesara polis yang ditetak sehingga menerima 37 jahitan akibat salah faham. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pesara polis yang ditetak sehingga menerima 37 jahitan akibat salah faham. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Dua daripada empat lelaki yang disyaki menetak seorang pesara polis sebulan lalu akibat salah faham ditahan di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah, semalam.

Suspek berusia 33 dan 50 tahun ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di kampung berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.

Susulan itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, suspek ditahan reman empat dan tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, 21 Januari lalu, mangsa berusia 61 tahun menerima 37 jahitan akibat ditetak dengan senjata tajam di Kampung Serendah Chetok, Pasir Mas.

"Selepas mendapatkan rawatan, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 31 Januari lalu dan hasil maklumat suspek berjaya ditahan di Kampung Panglima Bayu.

"Siasatan awal, seorang daripada suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung nombor ekor yang diperolehi rakan suspek dan menyebabkan berlaku kejadian berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, dua lagi suspek yang sudah pun dikenal pasti masih dalam buruan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 6:40 PM