Lelaki OKU yang ditahan di Taman Nusari Bayu, Sendayan di Seremban selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dadah. (Gambar kecil) Ganja mampat yang ditemui. Foto Ihsan PDRM
Lelaki OKU yang ditahan di Taman Nusari Bayu, Sendayan di Seremban selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dadah. (Gambar kecil) Ganja mampat yang ditemui. Foto Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI orang kurang upaya (OKU) ditahan polis di Taman Nusari Bayu, Sendayan di Seremban kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

OKU berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pada mulanya polis menahan kereta Proton Saga yang dipandu suspek selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di Taman Nusari Bayu.

“Polis menjalankan pemeriksaan dalam kereta itu dan menemui dua ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 955 gram di tempat duduk belakangnya.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif ganja,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:41 PM