Mahdzir menyaksikan sesi menandatangani  dokumen antara KPM yang diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Seri Alias Ahmad dengan Yayasan RHB yang diwakili Pemegang Amanahnya, Norazzah Sulaiman. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Mahdzir menyaksikan sesi menandatangani dokumen antara KPM yang diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Seri Alias Ahmad dengan Yayasan RHB yang diwakili Pemegang Amanahnya, Norazzah Sulaiman. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan RHB bagi kerjasama dalam Penyediaan Kemudahan Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di lima sekolah terpilih di negara ini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha KPM Datuk Seri Alias Ahmad dan Pemegang Amanah Yayasan RHB Norazzah Sulaiman dan disaksikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Datuk Khairussaleh Ramli.

Matlamat utama MoU ini adalah mengukuhkan hubungan strategik antara KPM dan Yayasan RHB untuk menyediakan kemudahan mesra OKU kepada 505 murid berkeperluan khas (MBK) di lima sekolah berkenaan.

Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa 2, Rawang; Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau, Shah Alam; Selangor dan SMK Desa Perdana, Taman Desa dan SK Seri Indah, Taman Overseas Union Kuala Lumpur.

Khairussaleh berkata, antara kemudahan mesra OKU yang sudah dibina di sekolah itu adalah dua unit tandas, kawasan mengambil dan menurunkan pelajar, susur tangan dan susur landai untuk membantu pergerakan pelajar serta murid kurang upaya dalam kawasan sekolah.

"Menerusi kemudahan yang disediakan, kami berharap ia dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dan orang ramai, sekali gus meningkatkan bilangan enrolmen kanak-kanak OKU terutama kurang upaya fizikal untuk mendaftar di sekolah ini," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU berkenaan di KPM di sini, hari ini.

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk membina kemudahan berkenaan yang sudah disiapkan tahun lalu untuk kegunaan murid dan pelajar di sekolah terbabit.

Sementara Mahdzir berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah seiring dengan Anjakan 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang membabitkan kerjasama sektor swasta melalui 'pembelajaran berasaskan sistem' dalam membantu pembelajaran MBK.

"KPM mensasarkan semua sekolah dinaiktaraf dengan dilengkapi kemudahan mesra OKU menjelang 2020.

"Justeru, saya berharap kerjasama pintar dan permuafakatan dua hala ini dapat diteruskan bagi merealisasikan misi transformasi pendidikan negara ke arah menyediakan akses dan ekuiti dalam pendidikan kepada MBK,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:03 PM