BERNAMA

SEBANYAK 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka tahun ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 7,600 orang lagi Murid Berkeperluan Khas (MBK), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata pelaksanaan PPKI itu yang membabitkan 1,109 kelas juga bakal memberikan akses pendidikan yang lebih mudah serta berhampiran kawasan kediaman golongan pelajar itu.

“Peluasan (program) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta adalah bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Dari segi penyelenggaraan pula, bagi tahun ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM16 juta bagi menyelenggara 320 sekolah lagi dan jumlah enrolmen juga meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur MBK,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersempena hari pertama sesi persekolahan tahun ini di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, pada 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

“Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan yang telah dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya yang juga merupakan aset kepada negara,” katanya.

Selain itu, Maszlee berkata, 75 sekolah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang menawarkan PPKI daripada peringkat prasekolah ke peringkat menengah di negara ini adalah sebanyak 2,418 buah.

Beliau berkata, pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif yang menjadi keutamaan kementerian selaras dengan Dasar Sifar Penolakan yang diumumkan baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas berhubung program pertukaran guru secara ‘suka sama suka’ yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM pada tahun ini, Maszlee berkata, ia bakal dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi dalam talian

“Pada tahun 2020 dan tahun akan datang sistem pertukaran guru akan lebih tersusun dan ia akan dilaksanakan berdasarkan sistem digital. KPM akan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:21 PM