LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


INSIDEN kemalangan lori tangki membawa muatan lebih 10,000 liter minyak sawit di Kilometer 290 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Ipoh, semalam tidak menyebabkan berlaku pencemaran.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dalam kenyataan, hari ini, berkata siasatan dan tinjauan menggunakan dron mendapati tiada sebarang aliran dan takungan minyak jenis ‘Crude Palm Kernel Oil’ di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, insiden itu menyebabkan kesemua minyak mentah dengan anggaran kapasiti seberat 43 tan tumpah di atas lebuh raya.

“Bagaimanapun, tumpahan itu berjaya dikawal melalui kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh syarikat penyelenggara serta pasukan bomba.

“Kerja-kerja pembersihan dibuat menggunakan semburan dan taburan serbuk kayu bagi membendung minyak yang tumpah terus mengalir ke alur air yang terdapat berhampiran.

“Bagaimanapun, JAS akan menjalankan pemantauan susulan termasuk kerja-kerja pembersihan sehingga selesai,” katanya.

Portal berita Harian Metro, semalam melaporkan pasukan bomba mengambil masa lebih dua jam bagi membersihkan tumpahan 10,000 liter minyak mentah dalam kejadian itu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, pemandu lori sebuah lori kontena dipercayai melanggar belakang lori tangki muatan minyak sawit hingga berlaku tumpahan minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:40 PM