RAZIF (kiri) bersama Fazriq ketika sesi latihan.
RAZIF (kiri) bersama Fazriq ketika sesi latihan.
Saiful Affendy Sapran


“Saya mahu menang emas Olimpik!”

Itu antara ungkapan pertama pemain badminton berbakat negara Muhammad Fazriq Mohd Razif yang menyimpan impian untuk memenangi kilauan pingat di temasya sukan paling berprestij itu.

Nadanya mungkin dilihat agak keterlaluan, namun mungkin bakal menjadi kenyataan satu hari nanti kerana Fazriq bukan calang-calang kerana dia anak bongsu kepada legenda badminton negara Datuk Mohd Razif Sidek.

Mengakui teruja melihat aksi ayahnya yang lebih selesa disapa papa, Fazriq yang beraksi dalam acara perseorangan bagaimanapun berkata, minat bermain badminton hadir daripada nalurinya sendiri.

“Memang saya pernah lihat aksi papa tapi sebenarnya saya sendiri yang berminat bermain badminton.

“Saya mula bermain sejak usia 5 tahun dengan menggunakan raket pertama dibelikan papa.

“Mula-mula memang hanya bermain dengan papa, tapi selepas itu saya mula rasa seronok.

“Bukan saja mahu menang emas Olimpik, tapi saya juga berharap dapat memenangi kejohanan besar lain seperti Seluruh England serta Sukan Asia,” katanya.

Jelas Fazriq, dia juga pernah menyaksikan aksi semua bapa saudaranya yang sedikit sebanyak meningkatkan semangat untuk menjadi pemain berjaya.

“Kesemua pakcik banyak memberi dorongan kepada saya. Mereka sentiasa mengingatkan saya supaya berlatih bersungguh-sungguh dan memilih kawan yang benar-benar baik,” katanya.

Fazriq yang kini menimba ilmu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, dia menjadikan bekas jaguh Indonesia Taufik Hidayat sebagai idolanya.

“Dia seorang yang tenang ketika bermain,” katanya.

Ditanya mengapa memilih beraksi acara perseorangan berbanding beregu seperti ayahnya, Fazriq mempunyai jawapan tersendiri.

“Jika kalah, ia kesilapan saya sendiri dan jika menang juga hasil usaha sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:43 AM