FAZRIQ ketika beraksi di Kejohanan Badminton 100PLUS Sirkit Remaja Kebangsaan tahun lalu. FOTO Adzlan Sidek
FAZRIQ ketika beraksi di Kejohanan Badminton 100PLUS Sirkit Remaja Kebangsaan tahun lalu. FOTO Adzlan Sidek
Aida Adilah Mat


MUHAMMAD Fazriq Razif masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memberi fokus kepada acara beregu ataupun perseorangan.

Anak kepada legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek ketika ditemui berkata, ketika ini apa yang penting memberi yang terbaik dalam kedua-dua acara berkenaan.

Malah, ayahnya sendiri memberi kebebasan buat remaja berusia 16 tahun itu memilih acara yang diinginkan namun apa yang penting bagi dirinya kini adalah berusaha memberikan prestasi terbaik bagi memastikan namanya tersenarai dalam skuad negara ke Kejohanan Remaja Dunia BWF di Auckland, New Zealand Januari depan.

"Sekarang ini saya fokus untuk kedua-dua acara dulu. Apa yang penting beraksi di Kejohanan Dunia dulu.

"Ayah juga sarankan saya main kedua-dua acara kerana saya masih muda. Mungkin sampai satu masa nanti saya akan membuat pilihan," katanya yang melapor diri ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Fazriq bagaimanapun mengakui lebih gemar beraksi dalam acara beregu kerana memberikannya lebih kepuasan selain meminta untuk diberi tempoh satu atau dua tahun untuk dirinya memantapkan skil permainannya.

Sementara itu Fazriq mengakui teruja dan tidak sabar untuk kembali menjalani latihan dengan lebih kondusif selepas hampir empat bulan tidak dapat berbuat demikian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, dia yang muncul juara di Kejohanan Dunia Jemputan Bawah 15 tahun di Jepun tahun lalu itu mengakui beruntung dapat berada di bawah kendalian bapa saudaranya iaitu Datuk Misbun Sidek yang kini mengalas tugas Pengarah Pembangunan Belia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya rasa beruntung berada di bawah naungan beliau. Saya harap saya dapat belajar banyak ilmu daripadanya.

"Beliau melahirkan banyak jaguh negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Hafiz Hashim.

"Saya akan berikan segalanya untuk berlatih dan belajar daripada beliau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:46 PM