GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di enam Universiti Awam (UA) akan mendapat bayaran pinjaman mereka mulai 24 Februari ini.

PTPTN dalam satu kenyataan hari ini berkata, enam universiti berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"PTPTN telah menerima pengesahan status pengajian daripada enam UA itu dalam tempoh 1 hingga 7 Februari dan pelajar UA berkenaan akan menerima bayaran mulai 24 Februari 2017," kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bayaran lima lagi UA iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak akan diproses sehingga perbadanan itu menerima pengesahan status pengajian penuntut UA berkenaan berdasarkan jadual yang ditetapkan.

"Sekiranya UA terlibat dapat mengemukakan pengesahan status penuntut sebelum atau pada 14 Februari, bayaran akan dikreditkan ke akaun penuntut mulai 24 Februari 2017.

"Manakala bagi pengesahan status pengajian penuntut yang diterima selepas 14 hingga 26 Februari, bayaran akan dikreditkan ke akaun penuntut mulai 7 Mac.

Penuntut UA terlibat boleh menyemak tarikh penerimaan status pengajian pelajar dan tarikh bayaran terkini melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 9:19 PM