ZULFADLI bersama lukisan menggunakan cat sembur.
ZULFADLI bersama lukisan menggunakan cat sembur.
Nurul Husna Mahmud


KARYA cat sembur pada kanvas masih lagi aliran baharu bagi peminat seni tempatan, sedangkan di negara luar seperti Australia dan Eropah sudah mengangkat artis genre ini yang dilihat mempunyai nilai estetika tersendiri.

Antara karya yang boleh dibanggakan ialah sentuhan artis cat sembur, Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi ketika mewakili Malaysia dalam karnival tahunan Wall to Wall di Melbourne, Australia, baru-baru ini.

Karya yang menampilkan gadis Melayu mengenakan kebaya dan kain batik bersimpuh ketika bermain congkak dipamerkan pada dinding sepanjang 20 meter berjaya menarik perhatian pengunjung antarabangsa ketika karnival berkenaan berlangsung.

Dia yang lebih dikenali sebagai AkidOne dalam kalangan penggiat seni cat sembur berkata, keistimewaan medium berkenaan ialah kebebasan untuk menggunakan pelbagai permukaan sebagai ganti kepada kanvas.

“Uniknya pada seni ini ialah karakter iaitu artis cat sembur bebas untuk berkarya pada mana-mana permukaan kanvas, dinding dan apa saja jenis permukaan serta ruang, sekata atau berlekuk tidak memberi masalah kepada saya.

TUN Mahathir antara tokoh sering dijadikan bahan untuk berkarya.
TUN Mahathir antara tokoh sering dijadikan bahan untuk berkarya.

“Bagi penyertaan dalam industri pula, ketika ini karya ini dilihat masih baharu dan penerimaannya dalam kalangan peminat mahupun pengumpul karya masih sukar.

“Mereka hanya memandang karya daripada aliran seni tradisional merujuk kepada berus atau seni halus sebagai produk kualiti, sedangkan hasil kerja yang saya tampilkan pada setiap karya pada tahap kualiti baik.

“Selain itu medium cat yang digunakan daripada Jerman mempunyai kualiti warna menonjol dan mengangkat karya yang ada pada tahap setanding karya seni aliran arus perdana,” katanya.

Mengenai karya cat sembur dihasilkan, Zulfadli berkata, ketika ini beliau berjaya menghasilkan lebih 20 karya kanvas.

“Kalau subjek pada karya biasanya saya tertarik dengan figura tokoh atau individu tersohor. Fokus biasanya pada bahagian mata kerana biasanya kekuatan ekspresi di bahagian anggota tubuh itu.

“Antara individu pernah saya lukis potret mereka ialah Tokoh Seni, Datuk Mohd Hoessein Enas dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menariknya mengenai potret Tun M ialah antara subjek paling banyak memberi ekspresi kepada karya saya. Tokoh negarawan ini paling banyak ekspresi berbanding orang ternama lain apabila foto dirakam akhbar,” katanya.

Mengenai medium untuk mempamerkan kerja solonya, katanya, Zulfadli, ketika ini platform Instagram Akid_One menjadi tempat untuk paparan hasil karyanya.

“Memang berhajat untuk ada pameran solo sendiri dan perkara ini pernah diketengahkan satu ketika dahulu kepada Balai Seni Negara, tetapi tiada rezeki lagi. Jadi saya berharap ada tawaran pihak galeri untuk peluang mengetengahkan karya saya selaku antara perintis artis seni sembur,” katanya pernah menghasilkan karya lukisan tiga dimensi (3D) ‘Lady Bug dan Kotak Kayu’ di satu pameran berlangsung di Dubai pada 2017.

GEMAR merakam potret tokoh penting.
GEMAR merakam potret tokoh penting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:25 AM