Laporan Harian Metro, semalam
Laporan Harian Metro, semalam
Mohd Hanafis Abdul Haris

Kuala Lumpur: Penduduk Kampung Pasir Baru, Semenyih dinasihatkan tidak panik dengan dakwaan kononnya terdapat beberapa ekor buaya tembaga mendiami kawasan itu sejak seminggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan dijalankan pihaknya sejak petang tadi mendapati tiada kesan atau kemunculan reptilia berkenaan.

Menurutnya, biarpun demikian pihaknya akan terus menjalankan operasi pemantauan bagi menjejaki hidupan liar terbabit bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar.

“Beberapa pegawai PERHILITAN sudah menjalankan pemantauan di sekitar kawasan paya berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari sehingga 4 petang tadi.

“Bagaimanapun tiada kelibat buaya dikesan, berkemungkinan sudah menuju ke sungai berdekatan,” katanya.

Menurut Abdul Kadir, beliau juga tidak menolak kemungkinan perubahan cuaca sejak sebulan lalu menjadi punca kehadiran buaya tembaga itu.

“Peningkatan paras air mungkin menyebabkan sesetengah kawasan berpaya di kawasan Kampung Pasir Baru menjadi pilihan haiwan terbabit untuk singgah.

“Berdasarkan rekod kami ini kali pertama reptilia itu ditemui di kawasan terbabit,” katanya.

Semalam, anggota bomba menangkap anak buaya sepanjang 1.5 meter di kolam dekat rumah kongsi di Kampung Pasir, Semenyih, pada 4 petang.

Sebelum itu, gambar buaya berjemur di paya berhampiran Sungai Semenyih dirakam dan dimuat naik oleh pekerja kolam pancing, Syahrul Ambia, 37, di akaun Facebook (FB) miliknya kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Syahrul dipetik berkata, dia dimaklumkan berhubung kewujudan buaya tembaga itu oleh pekerja warga asing di Nirvana Memorial Park pada Ahad lalu.

“Selama 37 tahun menetap di Kampung Pasir Baru, saya belum pernah melihat kelibat buaya di Sungai Semenyih atau kawasan sekitarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 11:11 PM