ANGGOTA PERHILITAN berjaya menangkap seekor Buaya Tembaga jantan di lombong Puchong Prima di sini.
ANGGOTA PERHILITAN berjaya menangkap seekor Buaya Tembaga jantan di lombong Puchong Prima di sini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bertinggung beramai-ramai di atas buaya tembaga sepanjang lebih tiga meter bagi memastikan reptilia ganas itu dapat dilumpuhkan sepenuhnya sejurus ditangkap.

Itu tindakan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor sejurus berjaya menangkap 'penunggu' lombong di Puchong Prima, Selangor.

Tindakan itu dilakukan sebagai langkah keselamatan sebelum buaya seberat lebih 200 kilogram itu berjaya ditangkap itu dapat dipindahkan ke lokasi lain.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kelibat buaya tembaga sepanjang lebih tiga meter itu berulang kali dilihat penduduk sekitar Puchong Prima di sini, sejak Jun lalu.

Menurutnya, susulan laporan diterima itu, pihak PERHILITAN Selangor berusaha menangkap buaya berkenaan di lombong berhampiran sebuah kondominium di sini.

"Buaya tembaga itu akhirnya berjaya ditangkap menggunakan kaedah jerat sembat pada jam 9 pagi semalam.

"Anggota PERHILITAN bertungkus lumus menaikkan buaya jantan itu ke darat sebelum diikat dan diusung menaiki pacuan empat roda pada jam 12 tengah hari," katanya.

Menurutnya, buaya itu kemudian dibawa ke Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor, yang diselenggara pihak PERHILITAN.

"Pemasangan cip dan pengukuran buaya tembaga itu dilakukan dengan kerjasama kakitangan Paya Indah Wetlands sebelum dilepaskan di dalam padok kuarantin buaya terlebih dahulu.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, buaya tembaga jantan itu dianggarkan sepanjang 3.34 meter," katanya.

Mengikut sejarah, seekor buaya tembaga terbesar pernah ditangkap di semenanjung Malaysia berjaya ditundukkan di bekas lombong di Kampung Sri Aman, Puchong, Selangor, pada 24 Mac 1997.

Buaya tembaga digelar 'Buaya Puchong' itu mempunyai berat 1.2 tan, 5.6 meter panjang dan 1.1 meter lebar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 11:28 AM