Nor Amalina Alias

"KAMI sudah lama menyedari kehadiran buaya ini, namun terpaksa ambil tindakan tangkap apabila reptilia ini mula makan ternakan dan bimbang faktor keselamatan keluarga," kata Mat Noor Mat Deris.

Mat Noor adalah pemilik haiwan ternakan yang menjadi mangsa buaya yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan petang semalam.

Menurutnya, dia dan keluarga mula menyedari kehadiran buaya sepanjang tiga meter itu sejak sebulan lalu, namun menganggap kehadiran buaya itu sebagai biasa kerana habitatnya di sungai di belakang rumahnya.

Katanya, ahli keluarga turut memberi nama kepada buaya itu dengan panggilan 'Manja' kerana sifat buaya dipercayai buaya betina itu manja dan tidak bertindak agresif apabila berjemur di daratan berhampiran rumahnya.

BUAYA tembaga yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan. FOTO Ihsan pembaca
BUAYA tembaga yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan. FOTO Ihsan pembaca

"Manja juga suka bergambar tetapi beberapa hari lalu ia mula bertindak memakan itik peliharaan saya.

"Memikirkan keselamatan seramai 13 ahli keluarga dan ternakan lain, saya terus hubungi pihak PERHILITAN supaya Manja dapat diletakkan di tempat yang lebih sesuai," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Aji di Pasir Puteh hari ini.

MAT Noor menunjukkan lokasi buaya tembaga yang sering memakan ternakan itik miliknya di Kampung Tok Aji,Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
MAT Noor menunjukkan lokasi buaya tembaga yang sering memakan ternakan itik miliknya di Kampung Tok Aji,Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias

Mat Noor berkata, walaupun ahli keluarganya mulai menyayangi reptilia itu namun keputusan itu terpaksa diambil bagi kebaikan kedua pihak.

Katanya, dia buat aduan kepada PERHILITAN pada Selasa lalu dan anggota jabatan itu berjaya menangkap buaya itu pada malam kelmarin serta dibawa keluar petang semalam," katanya yang memberitahu kali pertama dia menemui buaya sejak 30 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

Sementara itu, sumber PERHILITAN berkata, reptilia itu berjaya ditangkap menggunakan perangkap buaya dengan operasi tangkapan oleh lima anggota.

Menurutnya, buaya itu akan dihantar ke lokasi pelepasan yang sesuai bagi menjamin keselamatan orang awam dan dalam masa sama menjamin kelangsungan hidup reptilia terbabit.

"Pihak PERHILITAN sentiasa mengalu-alukan aduan orang awam dan membuat siasatan, jika adanya konflik iaitu membabitkan keselamatan orang, kita akan terus buat langkap pencegahan," katanya.

PERHILITAN menggunakan perangkap buaya untuk menangkap buaya sepanjang tiga meter itu. FOTO Ihsan pembaca
PERHILITAN menggunakan perangkap buaya untuk menangkap buaya sepanjang tiga meter itu. FOTO Ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 2:14 PM