Seekor buaya tembaga dilihat sedang berjemur di Sungai Pilin, Rembau, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Seekor buaya tembaga dilihat sedang berjemur di Sungai Pilin, Rembau, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Amin Jalil


Rembau: Jerat perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan susulan laporan seekor buaya merayau dan muncul di Sungai Pilin, di sini kelmarin.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, tindakan itu diambil susulan aduan diterima daripada penduduk Kampung Paya Lebar Rembau yang terlihat buaya sepanjang kira-kira dua meter di sungai berkenaan.

Katanya, pihak Perhilitan mengambil perhatian serius terhadap aduan berkenaan dan terus memantau bagi keselamatan penduduk kampung itu.

"Siasatan dibuat sebaik menerima aduan daripada penduduk dan tindakan memasang perangkap buaya dilakukan di Kampung Paya Lebar, Sungai Pilin, sebaik sahaja terdapat aduan mengenai kelibat buaya di kawasan itu.

"Sebelum ini ada aduan diterima buaya sepanjang dua meter dilihat di Kampung Paya Lebar. Tetapi aduan terbaru di Sungai Pilin... kita akan siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya semalam.

Beliau berkata, lokasi sungai berkenaan adalah antara habitat buaya dan terletak berdekatan dengan Sungai Timun, Lubuk China Rembau yang terkenal dengan kewujudan buaya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak bermain di sekitar kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Zainurin Zakaria, 54, berkata, dia sempat merakam gambar buaya tembaga sepanjang hampir dua meter berkenaan sebelum buaya itu masuk semula ke dalam sungai.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:33 PM