JUNSU
JUNSU
Georgie Joseph


Annyeonghaseyo! Beberapa tahun kebelakangan ini menjadi tempoh sukar buat anggota JYJ iaitu Junsu apabila terpaksa berdepan kes mahkamah membabitkan hotel miliknya, Hotel Toscana di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Terbaru, dia dikecam dalam satu artikel daripada bekas pekerjanya berikutan keputusannya menjual hotel berkenaan.

Rata-rata bekas pekerja terbabit mendakwa kebajikan mereka diabaikan dan mendapat layanan buruk ketika bekerja di situ.

Tidak mahu berdiam diri, Junsu tampil dengan kenyataan balas menerusi Instagram miliknya dengan menyifatkan laporan itu berunsur fitnah.

“Dua hingga tiga tahun lalu, saya dituduh tidak menanggung kos pembinaan hotel itu. Walaupun ia sudah selesai dan saya terbukti berada di pihak yang benar, orang masih memandang serong.

“Saya terfikir untuk membina hotel berkenaan disebabkan mahu memiliki sebuah tempat yang saya impikan selama ini. Malangnya, saya lepaskan pengurusan hotel kepada orang yang tidak berpengalaman menyebabkan timbul pelbagai masalah selain mengalami kerugian besar.

“Ia tidak mencatat keuntungan langsung, malah saya gunakan hasil pendapatan nyanyian untuk membiayai hotel berkenaan. Saya tidak kesal tapi atas nasihat perunding, saya memutuskan untuk menjual hotel itu kepada pemilik yang lebih sesuai,” katanya.

Junsu turut menyatakan tujuan dia menulis kenyataan itu supaya orang ramai tahu kebenarannya suatu hari nanti.

“Apa yang saya katakan semuanya benar dan apa yang dilaporkan artikel berkenaan pula tuduhan palsu. Saya mahu semua ingat apa yang sudah saya jelaskan dan tulis ini,” katanya.

Hotel Toscana dibina di tanah milik Junsu yang dibelinya pada Januari 2011.

Pengurusan hotel itu kemudian diuruskan ahli keluarganya, namun pekerjanya melemparkan pelbagai tuduhan buruk antaranya pengurusan yang sangat teruk, gaji dibayar lambat dan banyak lagi.

Awal tahun ini, pengurusan hotel itu memberikan kenyataan berhubung dakwaan itu sebelum tersebar berita penjualan hotel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 10:47 AM