Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Buang ego masing-masing dan kembali ke landasan sebenar.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) membuat gesaan itu agar Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen lebih memikirkan soal institusi berbanding peribadi.

Menurutnya, apa yang berlaku antara Chong Wei dan Frost tidak seharusnya berterusan kerana BAM berada pada puncak terbaik juga disebabkan kedua-dua individu berkenaan.

“Saya setuju dengan saranan Menteri (Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar) BAM sudah berada pada tahap terbaik kerana kedua-dua individu ini. Jadi sebagai Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM saya rasa kedua-dua saling melengkapi satu sama lain seperti bahan masakan,” katanya di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke Sukan Asia Musim Sejuk 2017.

Jelasnya, kedua-dua individu berkenaan digesa kembali memberi tumpuan kepada tugas masing-masing - mempersiapkan diri untuk kembali bertaraf dunia dan mencari pengganti Chong Wei.

“Ia bukan pertama kali (mereka bertegang urat) tapi mungkin cara dan pemikiran berbeza di antara kedua-duanya, dengan Morten terpaksa memberi fokus kepada semua pemain kecuali Chong Wei.

“Chong Wei pula mempunyai hala tuju sendiri. Mungkin ada percanggahan tapi ini perkara biasa. Saya harap pertelingkahan disebabkan ego ini perlu ketepikan demi kepentingan BAM.

“BAM mengatasi segala-galanya, kerana kami tidak mahu mengganggu apa yang dicapai sebelum ini. Chong Wei tetap legenda dan memberi inspirasi kepada pemain lain.

“Morten pula mempunyai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) untuk Malaysia berada di antara tiga kuasa besar dan memenangi emas Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Masing-masing mempunyai objektif dan haluan. Sebagai Pengerusi C&T, saya mahu mereka mengetepikan ego dan kembali memberi tumpuan terhadap tugas masing-masing. “Ini bukan isu besar, saya dan menteri yakin BAM tidak berada dalam keadaan yang menyukarkan perancangan,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:08 AM