BERNAMA

PEMAIN nombor sembilan dunia, Henrik Stenson (gambar) mengesahkan penyertaan dalam saingan golf Kejohanan Maybank 2018 di Kelab Golf dan Country Saujana, dekat sini, pada 1 hingga 4 Februari ini.

Penganjur kejohanan, Maybank hari ini mengumumkan pemain bintang antarabangsa pertama yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu.

“Kami dengan sukacita mengalu-alukan Henrik stenson dalam Kejohanan Maybank 2018.

“Adanya Stenson akan membuka peluang kepada profesional jelajah meningkat di seluruh ASEAN selain 10 pemain golf terbaik Malaysia dari jelajah tempatan, menimba pengalaman pertandingan sebenar dengan seorang daripada pemain golf terbaik dunia,” kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias dalam kenyataan, di sini hari ini.

Stenson, 41, mencipta nama antaranya dengan menjadi satu-satunya pemain golf profesional yang memenangi kedua-dua Piala FedEx dan Race to Dubai pada tahun yang sama iaitu pada 2013.

Kejayaannya dalam Kejohanan Terbuka pada 2016 pula dianggap sebagai antara yang terbaik dan persembahan paling menarik pada hari terakhir dalam sebarang kejohanan utama.

Dia juga mewakili Sweden dalam Olimpik 2016 di Rio dan meraih pingat perak.

Stenson akan bersaing dengan 155 pemain terkemuka dari seluruh dunia untuk merebut wang tunai As$3 juta (sekitar RM12.54 juta) di Kelab Golf dan Country Saujana.

Kejohanan Maybank 2018 diiktiraf bersama oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia, satu perkongsian yang akan menyaksikan pemain daripada kedua-dua jelajah bersaing dalam kejohanan.

Acara itu disokong oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan badan-badan golf profesional di seluruh rantau selain menyediakan platform kepada pemain yang mahu mencari pengalaman berharga dan mata ranking golf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 11:03 PM