Low You Soon bersalaman dengan peguamnya selepas dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Low You Soon bersalaman dengan peguamnya selepas dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Peniaga berusia 39 tahun dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

Ia termasuk pertuduhan berkaitan memiliki senjata api, peluru dan dadah seberat 5.02 gram serta mengedar dadah seberat 58.76 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak memutuskan demikian terhadap Low You Soon, 39 yang berasal dari Taman Ungku Tun Aminah di Skudai, di sini, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“€œSelepas membuat penilaian, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama bapa kepada dua anak didakwa mengedar dadah jenis 3-4-Methylenedioxymethamphemine (MDMA) berat bersih 58.76 gram.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, You Soon didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphemine (MDA) berat berat 4.94 gram serta Monoacetylmorphines seberat 0.08 gram.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan ini dilakukan di sebuah rumah kayu tidak bernombor di ladang kelapa sawit tiang lampu JA4/4 menghala kira-kira 2.8 Kilometer, Jalan Skudai-Pontian, Kangkar Pulai, di sini pada jam lebih kurang 5.30 petang pada 4 September 2014.

Bagi pertuduhan keempat, lelaki berkenaan didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Whalter dengan nombor siri S152506 yang mana suatu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjataapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa memiliki enam butir peluru hidup S&B 9MM BR C yang mana suatu kesalahan di bawah Seksyen 8a Akta Senjata 1960.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebiah pondok dalam kelapa sawit, 3 Kilometer daripada Lebuhraya Skudai-Pontian dalam kawasan Kangkar Pulai, di sini pada jam kira-kira 5.30 petang pada 4 September 2014.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Nor Azizah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Anwar Raof.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 4:56 PM