Uzair Che dan Azilafatiha dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Uzair Che dan Azilafatiha dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sepasang kekasih melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis ganja seberat 1.7 kilogram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan Azilafatiha Ahmad, 27.

Katanya, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan terhadap kesemua pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

"Keputusan ini dijalankan selepas menilai tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap sebuah rumah yang menjadi lokasi dadah ditemui.

"Kemungkinan ada individu lain yang mempunyai akses terhadap rumah berkenaan menggunakan kunci pendua. Dakwaan wujud individu lain itu kuat apabila sebuah televisyen di dalam rumah itu turut hilang selepas pegawai polis merakam gambar di situ," katanya ketika membaca alasan penghakiman.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Uzair didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 8.5 gram mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Uzair dan Azilafatiha didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1,609 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 122.76 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan oleh Uzair dan Azilafatiha di sebuah rumah di Taman Mesira, Kampung Budi dekat Bachok, jam 1 pagi pada 9 Januari 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad.

Azilafatiha diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Leftenan Kolonel (B) Azhar Ahmad, manakala Uzair diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Sementara itu, ibu kepada Azilafatiha, Asnah Omar, 68, ketika ditemui bersyukur apabila anaknya dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan.

"Saya tahu Azilafatiha berkawan dengan tertuduh lelaki (Uzair) beberapa bulan sebelum mereka ditahan. Apa pun, saya bersyukur apabila doa dan solat hajat saya terhadap Azilafatiha akhirnya termakbul apabila dia dibebaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 4:15 PM