CUACA ekstrem itu turut menyekat jalan raya. FOTO Rescue 1122
CUACA ekstrem itu turut menyekat jalan raya. FOTO Rescue 1122
Agensi

Islamabad: Sekurang-kurangnya 35 orang maut, manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila hujan lebat dan salji tebal melanda kawasan terpencil di Pakistan pada hujung minggu lalu, lapor BBC.

Dua puluh dua kanak-kanak adalah antara yang maut, kebanyakannya tertimbus dalam tanah runtuh yang melanda kediaman mereka, kata pihak berkuasa pengurusan bencana.

Cuaca ekstrem melanda wilayah utara dan barat Pakistan, menyekat jalan raya dan merosakkan ratusan rumah.

Pakar terkejut dengan dengan salji itu kerana ia biasanya sederhana pada bulan Mac.

Bekas pengarah jabatan meteorologi negara itu, Mushtaq Ali Shah mengaitkan keadaan luar biasa itu dengan perubahan iklim.

Beliau menambah bahawa ribut hujan ais yang berlarutan "untuk beberapa saat" tidaklah begitu mengejutkan, tetapi ia adalah luar biasa untuk itu berterusan selama lebih 30 minit.

Seorang penduduk daerah Kirk di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Hajit Shah berkata, dia pernah mengalami salji di kawasan kejiranannya hanya sekali sebelum ini.

"Seingat saya, salji turun sedikit selama beberapa minit kira-kira 25 atau 30 tahun lalu," katanya kepada BBC.

Hujan lebat memusnahkan sepenuhnya sekurang-kurangnya 150 rumah dan merosakkan sebahagian 500 kediaman lain, kebanyakannya di Khyber Pakhtunkhwa dan wilayah barat daya Balochistan, kata pihak berkuasa.

Bekalan elektrik terputus sepenuhnya di beberapa daerah selama beberapa hari.

Kerajaan wilayah Khyber Pakhtunkhwa menyediakan bekalan bantuan ke kawasan terjejas dan mengumumkan bantuan kewangan untuk mangsa cedera dan keluarga yang mana ahlinya meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 8:51 AM