REMAJA menaiki kenderaan di Kandahar. FOTO AFP
REMAJA menaiki kenderaan di Kandahar. FOTO AFP
BERNAMA

Kabul: Kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, dan AS$2.6 bilion diperlukan untuk tujuan itu pada tahun akan datang, lapor Sputnik, memetik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan di New York.

"Keperluan kemanusiaan di (Afghanistan) kian meningkat… dengan semua 34 wilayah menghadapi krisis atau tahap kecemasan keselamatan makanan. Akibatnya, kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, mengalami kebuluran dan mengancam nyawa akibat kekurangan zat makanan," kata agensi PBB itu pada Rabu.

"WFP memerlukan AS$2.6 bilion untuk operasinya di Afghanistan pada tahun akan datang."

Kawasan terpencil di Afghanistan telah menghadapi krisis keselamatan makanan akibat masalah kemarau yang berpanjangan, kejatuhan ekonomi, konflik dan pandemik Covid-19, kata PBB.

Ia menyebabkan peningkatan 80 peratus dalam kos roti – makanan ruji bagi kebanyakan keluarga di negara ini – kata kenyataan itu.

Pengarah WFP Afghanistan Mary-Ellen McGroarty menyeru masyarakat antarabangsa untuk memisahkan keperluan kemanusiaan daripada fahaman politik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 1:49 PM