SITI Nurhaliza.
SITI Nurhaliza.
Sudirman Mohd Tahir


Dalam pada penyanyi lain bergelut dengan masalah kewangan dan penajaan untuk penganjuran konsert, banyak pihak beranggapan perkara itu tidak berlaku kepada penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza. Buktinya, sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi, Siti, 38, sudah menjayakan lebih 15 konsert dalam negara dengan pelbagai konsep.

Ia tidak termasuk beberapa konsert di luar negara seperti di Indonesia, Singapura, Brunei dan London.

Namun, Siti yang kali terakhir menjayakan konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends di Stadium Negara tahun lalu mengakui pernah berdepan situasi sama.

“Sejujurnya bukan senang nak menganjurkan konsert jika tidak ada penaja. Ini isu biasa bagi setiap penyanyi di negara kita. Kalau nak tahu ada beberapa konsert saya sebelum ini menggunakan duit sendiri. Tapi memikirkan ia bagus untuk profil kerjaya, saya pejamkan mata saja.

“Bagi saya jika terdapat penaja yang ingin menganjurkan konsert dengan menggunakan nama artis itu semata-mata, ia satu kesilapan. Apatah lagi, jika bayaran artis itu datangnya daripada hasil jualan tiket. Perkara sebegini memang boleh mendatangkan kerugian kepada artis terbabit sekiranya berIaku masalah dalam penganjuran konsert itu,” katanya.

Antara konsert Siti yang menggunakan perbelanjaan sendiri adalah Konsert Live Siti Nurhaliza di Stadium Putra Bukit Jalil (1999) yang juga konsert pertama Siti, Konsert Satu Suara (2010), Konsert Unplugged (2015) dan Konsert Satu Suara Vol. 2 (2015).

Menurut Siti, setiap konsert yang dijayakan itu dianggap sebagai satu bentuk perniagaan. Oleh itu, perlu berani mengambil risiko.

“Saya selalu berfikir kalau nak menjayakan konsert dengan mengeluarkan duit sendiri memang tak boleh bergantung harap kepada orang lain. Sebaliknya perlu berani menyahut cabaran.

“Jika ia berjaya tentu saja menjadi buah mulut orang dan satu cerita besar. Paling penting ia mencatat sejarah tersendiri dalam kerjaya,” katanya.

Siti juga berpendapat harga tiket sesebuah persembahan atau konsert turut memainkan peranan penting.

Ditanya adakah Siti bakal menjayakan sebuah lagi konsert tahun ini, perkara itu masih dalam perancangan.

“Insya-Allah, perancangan itu memang ada. Cuma belum ada sebarang tarikh. Konsep juga masih rahsia. Malah pihak Istana Budaya juga ada menawarkan kepada saya. Apa pun tunggu saja,” katanya.

Rahsia kekal bahagia

Tanggal 21 Ogos ini genap 11 tahun usia perkahwinan Siti bersama suami tercinta Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan rumah tangga sekarang. Sepanjang tempoh ini saya belajar banyak perkara. Malah, saya dan suami saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Apa saya boleh katakan juga, kami saling melengkapi. Diakui gelombang rumah tangga itu berlaku. Tipu kalau saya cakap tak ada. Tapi sebagai suami yang matang dia tahu macam mana nak mengawal situasi. Begitu juga saya yang banyak belajar daripadanya,” katanya.

Menurut Siti, usia 11 tahun itu adalah satu tempoh yang cukup matang dalam mengenali suami.

Paling penting katanya, perlu sentiasa positif dalam menilai sikap suami.

“Ada sebab kenapa Allah jadikan setiap pasangan berbeza karakter. Begitu juga saya dan suami. Kalau suami marah saya mengambil pendekatan melembutkannya.

“Pada masa sama suami pula jenis yang tak nak membiarkan masalah itu berpanjangan. Seboleh-bolehnya diselesaikan sebelum tidur,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, berita baik buat semua peminat Siti yang dia bakal muncul dengan album studio terbaru selepas kali terakhir menerusi album berjudul Fragmen (2014).

Album itu bakal memuatkan 10 lagu membabitkan kerjasama dengan komposer Malaysia dan Indonesia.

“Buat masa sekarang semua lagu sudah ada. Tinggal lagi saya nak memulakan proses rakaman. Istimewanya juga, dalam album ini nanti terdapat satu lagu duet bersama Judika.

“Bukan apa syarikat rakaman Judika sudah lama menyatakan hasrat nak bekerjasama dengan saya. Jadi baru kali ia kesampaian,” katanya.

Selain itu, Siti juga sudah tidak sabar menunggu program realiti pertama dia dan suami berjudul CTDKation yang bakal ditayangkan si saluran Astro Ria.

“Mengikut perancangan. ia sepatutnya ditayangkan bulan lalu. Tambahan pula ia belum melalui proses suntingan. Tak mengapa kalau lambat asal saja hasilnya berkualiti.

“Sejujurnya saya sendiri tak sabar nak menonton hasil program itu. Ia membabitkan percutian saya bersama keluarga besar suami selama 21 hari di beberapa negara hujung tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:01 AM