MAYAT yang dibawa menggunakan bot laju milik PPM tiba di Jeti PPM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
MAYAT yang dibawa menggunakan bot laju milik PPM tiba di Jeti PPM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Mayat wanita yang ditemui tersangkut pada pukat nelayan, hari ini, kemungkinan besar pelancong warga China.

Mayat berkenaan tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kota Kinabalu, pada 2.15 petang tadi.

Mayat itu ditemui di lokasi 14.4 kilometer (km) barat daya Pulau Mengalum dan 36 km dari Pulau Tiga, kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, untuk bedah siasat.

Turut berada di jeti, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra Konsul Jeneral Republik Chian Kota Kinabalu Chen Pei Jie.

28 Januari lalu, bot jenis katamaran dinaiki 31 orang termasuk tekong, dua kru dan 28 pelancong warga China dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Aru.

Bot berkenaan kemudiannya didapati tidak tiba ke destinasi pada hari sama.

Berikutan itu, operasi SAR diaktifkan mulai kira-kira 10 malam, pada hari sama.

Pasukan SAR kemudian menemui tekong dan seorang kru bot di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, pada kira-kira 2 petang, 29 Januari.

Dua puluh dua pelancong warga China termasuk tiga yang maut kemudian ditemui, di perairan Semarang, Labuan, oleh kapal nelayan yang melalui kawasan itu, kira-kira 6 petang, 29 Januari.

Bagaimanapun, operasi pencarian tetap diteruskan berikutan masih ada yang hilang.

Sehigga ini, lima orang masih dkilaporkan hilang, tidak termasuk mayat wanita yang ditemui itu jika sah jasad itu pelancong warga China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 2:58 PM