Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz menunjukkan gambar jaket yang ditemui semalam. - Foto IZHARI ARIFFIN
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz menunjukkan gambar jaket yang ditemui semalam. - Foto IZHARI ARIFFIN
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Satu jaket keselamatan tertera tulisan tangan 'Marina Resort' ditemui di perairan Pulau Mengalum di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, jaket itu ditemui pada 4.46 petang oleh sepasukan anggota KM Banggi di 30 batu nautika barat daya daripada lokasi bot karam dan 25 batu nautika dari Pulau Mengalum.

Bagaimanapun menurutnya, masih belum dapat dipastikan jaket yang ditemui itu itu ada kaitan dengan mangsa bot karam pada 28 Januari lalu.

Jaket itu ditemui selepas mayat seorang wanita ditemui tersangkut pada pukat nelayan di 14.4 kilometer (km) barat daya Pulau Mengalum dan 36 km dari Pulau Tiga, semalam.

Mengulas mengenai penemuan mayat wanita itu, Adam berkata, setakat ini, laporan proses pengecaman dan bedah siasatnya masih belum dapat diperolehi.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa juga gagal membuat pengecaman berikutan keadaan mayat itu yang mereput dan hancur.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kesembilan hari ini, Adam berkata kawasan pencarian ditumpukan kira-kira seluas 2,000 batu nautika di sektor lokasi mayat wanita ditemukan semalam dengan membabitkan jumlah keseluruhan 15 aset.

Pada 28 Januari lalu, bot dinaiki 31 orang termasuk 28 pelancong China karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dan sehingga kini, 25 sudha ditemui, dengan 22 selamat dan tiga meninggal dunia manakala enam masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 12:10 PM