Pengarah Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Maritim Adam Aziz menunjukkan lokasi penemuan mayat wanita yang tersangkut pada pukat tunda sebuah bot nelayan di perairan Pulau Mengalum pada sidang media di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Pengarah Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Maritim Adam Aziz menunjukkan lokasi penemuan mayat wanita yang tersangkut pada pukat tunda sebuah bot nelayan di perairan Pulau Mengalum pada sidang media di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Keputusan pengecaman identiti mayat wanita yang ditemui dalam keadaan mereput di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga, pagi tadi, akan diketahui selewat-lewatnya esok.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, setakat ini, pihaknya masih menunggu proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat itu.

"Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan mayat wanita itu adalah salah seorang pelancong China yang menjadi mangsa kejadian bot karam di perairan Pulau Mengalum, pada 28 Januari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi APMM,di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung penemuan mayat wanita itu, Adam berkata, maklumat awal mendapati mangsa ditemui pada jam 9.25 pagi tadi di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga dekat sini.

Beliau berkata, ia ditemui keadaan mereput dan sebahagian anggota badannya turut hancur selepas tersangkut pada pukat nelayan.

"Mayat kemudian dibawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu pada jam 2.15 petang tadi dan terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian pada 28 Januari lalu, bot jenis katamaran dinaiki 31 orang termasuk 28 pelancong warga China karam ketika dalam perjalanan Pulau Mengalum dekat sini.

Sehingga kini, 22 ditemui selamat dan tiga meninggal dunia.

Enam mangsa dilaporkan masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:28 PM