THE Hashtag ditujukan kepada wanita aktif dan gemar bergaya.
THE Hashtag ditujukan kepada wanita aktif dan gemar bergaya.
Siti Zarinah Sahib

Melihat setiap padanan yang ditampilkan, ia menjanjikan keunikan dari segi fabrik dan warna. Mainan rona terang dengan gabungan yang agak kontras pasti ramai yang ingin menggayakannya. Ini kerana The Hashtag menggabungkan kombinasi warna yang begitu serasi dan kena gaya.

Malah tidak keterlaluan dikatakan potongan yang sederhana mampu menjadikan pemakai tampil sopan dan ringkas serta sesuai digayakan ke mana saja.

Menjelaskan lebih lanjut menurut pemilik The Hashtag Yeen Lee dan Faralyna Idris, semua rekaan termasuk potongan, warna dan fabrik adalah gabungan idea bersama. Ia bermula apabila Yeen menjadi penata gaya untuk Faralyna yang juga seorang pelakon.

“Selepas kali pertama bertemu, dari situ muncul keserasian. Kami mudah mesra, malah banyak perkara yang kami perkatakan.

Oleh kerana saya meminati fesyen manakala Faralyna peminat kasut dan beg tangan, jadi dia menyarankan agar kami mengeluarkan produk sendiri. Selepas kata putus diambil, kami sepakat mengeluarkan pakaian jenama The Hashtag,” kata Yeen.

Tidak mahu terlalu terburu-buru dalam pengeluaran produk, Yeen dan Faralyna ingin memastikan rekaan mereka berkualiti sama ada dari segi material dan potongan. Justeru, pemilihan fabrik mengambil masa agak lama.

Jelas Faralyna, antara material digunakan ialah linen, broked, batik dan kapas yang menjanjikan keselesaan kepada pemakai. Rekaan pula lebih terarah kepada konsep suai padan iaitu potongan blaus ala kurung Kedah, palazo, skirt, kardigan dan baju kurung yang dipermodenkan menjadi lebih santai.

“Oleh kerana saya dan Yeen sukakan gaya ringkas, terhasillah The Hashtag yang ditujukan kepada wanita moden juga Muslimah yang aktif dan gemar bergaya. Mereka boleh memadankan rekaan ini sesuai mengikut acara yang ingin dihadiri. Mungkin kurung Kedah boleh dipakai dengan seluar atau skirt,” katanya.

Gemar bermain dengan warna, bagi Yeen, ini menjadi kelebihan bagi The Hashtag kerana memasarkan busana yang ceria. Namun begitu bagi peminat rona pastel, hitam dan putih turut disediakan.

Bagi koleksi batik pula, corak yang dikeluarkan eksklusif dan tersendiri. Pemilihan fabrik dan corak dilakukan di Indonesia kerana di sana terkenal dengan pelbagai material unik dan corak menawan.

“Saya memang penggemar batik dan setiap rekaan pasti saya selitkan material ini agar lebih menyerlah identitinya apabila dipakai untuk acara tertentu. Saya juga menghasilkan tas tangan batik yang lebih eksklusif. Ada juga padanan blaus digandingkan dengan skirt batik,” katanya

yang tidak mahu memberikan tumpuan kepada busana Muslimah sebaliknya sesiapa saja boleh menggayakannya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan koleksi ini boleh melayari Instagram @hashtagsrihartamas. Harga bermula daripada RM99 sehingga RM369.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:02 AM