BLAUS dan celana atau blaus dengan skirt labuh sasar wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
BLAUS dan celana atau blaus dengan skirt labuh sasar wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Siti Zarinah Sahib

Fesyen berubah mengikut peredaran semasa. Rekaan, potongan termasuk fabrik digunakan sentiasa bertukar dari semasa ke semasa. Lantaran itu menjelang tahun baru, gaya terkini pastinya sentiasa menjadi perhatian semua. Wanita terutamanya, sentiasa mencari padanan yang bukan saja sopan dibawa ke tempat kerja tetapi boleh dipakai untuk padanan harian.

Menggabungkan ciri tradisi potongan kurung disesuaikan dengan gaya moden menjadi inspirasi bagi Maya Apparel dalam mengetengahkan rekaan terkininya kali ini. Mengekalkan gaya elegan, padanan blaus dan celana atau blaus dengan skirt labuh diperkenalkan memberikan tumpuan kepada wanita muda dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun.

Golongan ini dikatakan gemar berfesyen dan tahu apa yang mereka inginkan. Untuk itu semua padanan memperlihatkan gaya lebih matang dengan warna berani selain pastel yang sesuai untuk semua acara.

Menurut pemilik Maya Apparel Maya Che Ross, gandingan rekaan kali ini lebih sofistikated untuk wanita berkerjaya kerana mereka tentunya mahukan potongan selesa, memudahkan pergerakan dan paling utama tampil moden namun sopan.

“Rekaan kali ini lebih menarik dengan gabungan fabrik kapas citra nada pastel dan lembut manakala material skirt adalah satin pusam. Celana pula dibawakan khas dari Indonesia menggunakan batik kapas bercorak dan terang warnanya.

“Padanan ini diberi suntikan lebih berani dengan ikatan tali pinggang dan reben besar agar penampilan lebih meyakinkan. Tambahan pula fabrik yang dipilih sesuai dengan cuaca dingin di pejabat atau keluar bersiar-siar dalam cuaca panas lembap seperti di negara kita,” katanya.

Jenama ini yang saban bulan menggabungkan idea segar daripada pereka muda kini semakin mencuri tumpuan apabila buat julung kalinya diberi kepercayaan Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) untuk mengembangkan sayap perniagaannya. Melalui usaha sama ini, Maya Apparel akan menggandakan jumlah rekaan supaya lebih banyak busana anggun dapat ditawarkan kepada wanita pelbagai generasi.

“Mereka yang berminat tidak perlu risau dengan saiz atau kehabisan stok kerana kami menyediakan khidmat jahitan dalam tempoh yang singkat. Ia seperti butik pandu lalu iaitu pelanggan boleh menempah pada sebelah pagi dan datang semula di sebelah petang untuk mengambil pakaian yang siap,” ujarnya.

Menurut Maya, buat masa sekarang pihaknya menggunakan Facebook untuk pembelian. Pelanggan juga berpeluang mendapatkan koleksi ini di Kopetro Retail, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 10:22 AM