CORAK dan fabrik berkualiti menjadi asas rekaan Suricha.
CORAK dan fabrik berkualiti menjadi asas rekaan Suricha.
GAUN Muslimah polka dot untuk remaja dan mereka yang inginkan corak berbeza.
GAUN Muslimah polka dot untuk remaja dan mereka yang inginkan corak berbeza.
GAUN Muslimah yang diberikan kelainan menerusi potongan kembang pada bahagian bawah.
GAUN Muslimah yang diberikan kelainan menerusi potongan kembang pada bahagian bawah.
BUSANA peplum labuh dipadankan skirt untuk kekal Muslimah.
BUSANA peplum labuh dipadankan skirt untuk kekal Muslimah.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Bermula dengan rekaan jubah yang dijual di bazar sekitar Kuala Lumpur, tidak sangka busana yang dihasilkan wanita ini menarik perhatian pelanggan. Bermula dari situ, pengasas Butik Surischa, Nurul Syaza Fauzi, 22, mulai yakin dengan rekaan dihasilkan dan terus menambah kepada beberapa busana kasual dan selendang.

Keistimewaan rekaan Surischa kerana ia mementingkan kualiti fabrik serta kelainan dari segi corak dan warna. Dia juga mementingkan eksklusiviti dalam rekaan sebab itu ada fabrik yang direka sendiri coraknya supaya berbeza dengan butik lain.

“Ada pelanggan yang tidak mahu sama dan inginkan busana yang tidak dipakai orang lain. Oleh itu, saya cuba memenuhi keinginan mereka dengan menghasilkan rekaan jubah berbeza corak dan warna dan dijual dalam edisi terhad,” katanya yang kini membuka butik di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi sejak Jun lalu.

Ingin memberikan kelainan dalam rekaan, Surischa tampil dengan rekaan terkini gaun Muslimah yang lebih anggun dan versatil apabila digayakan. Jika jubah menggunakan tiga meter fabrik, berbeza dengan gaun Muslimah apabila mengetengahkan potongan lebih moden dan memikat.

“Gaun Muslimah menggunakan empat meter kain, lebih lebar dan kembang pada bahagian bawah bagi mencetuskan gaya beralun ala puteri. Malah, potongan sebegini terletak cantik pada tubuh si pemakai tanpa mengira ukuran badan. Malah, ia mampu menyembunyikan kekurangan tubuh terutama pada bahagian pinggul dan perut apabila digayakan.

“Mereka yang bertubuh ‘comel’ tidak perlu bimbang kerana saya memberikan sentuhan tersendiri dengan membuat potongan pada bahagian dada dan kembang pada bahagian bawah bagi memberikan ilusi menawan dan keyakinan yang tinggi kepada wanita apabila dipakai,” katanya.

Dalam setiap rekaan, Nurul Syaza sering memikirkan masalah yang sering dihadapi wanita dan cuba menyelesaikannya. Misalnya, jubah yang tidak mampu digayakan semua wanita kerana menonjol­kan bentuk tubuh, kini Surischa menghadirkannya dengan gaun Muslimah, begitu juga dengan blaus moden dan skirt yang memberikan gaya tersendiri kepada pelanggan.

Memilih fabrik yang tidak melekat dan berat seperti moss crepe tebal untuk gaun Muslimah dan blaus, ia memberikan keyakinan kepada wanita menggayakannya. Walaupun ia sedikit tebal daripada fabrik yang lain, pemakaiannya memberi keselesaan terutama apabila digayakan seharian sama ada untuk acara santai, ke pejabat, kuliah atau menghadiri majlis keraian.

Dengan memberi tumpuan kepada golongan muda dan wanita berkerjaya, setiap rekaan fabrik mengambil kira corak serta warna. Oleh itu, gabungan rona pada gaun juga amat diutamakan supaya setiap padanan tampil sempurna dan tidak nampak kekok apabila dipakai.

“Bagi memenuhi permintaan semua, Surischa menyediakan pelbagai warna daripada pastel mahupun terang. Malah, setiap rekaan mengambil kira keselesaan ibu menyusu apabila meletakkan zip pada bahagian dada dan tangan bagi memudahkan wuduk,” katanya.

Harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan mampu milik. Untuk gaun Muslimah semua di bawah RM199.

Mempunyai matlamat yang tinggi dalam bidang perniagaan, dia yang juga penerima anugerah Pelajar Terbaik Keusahawanan Kementerian Pendidikan Malaysia 2015, tidak sangka boleh berada pada tahap sekarang.

Baginya, usaha gigih, tidak kenal erti putus asa dan mempunyai mentor yang membimbing untuk menjadi usahawan berjaya menjadi resipi kejayaannya setakat ini.

Untuk maklumat lanjut, layari Instagram Surischa dan Facebook Surischa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 1:45 AM