VALENTINO Rossi. FOTO EPA
VALENTINO Rossi. FOTO EPA
Agensi

Valencia: Valentino Rossi akan kembali ke paddock di MotoGP Valencia dengan harapan dapat melihat Francesco Bagnaia mengesahkan mahkota juara dunia.

Setahun yang lalu, legenda perlumbaan motosikal itu menamatkan kariernya yang penuh gemilang di Valencia tetapi kini dia berpeluang melihat produk Akademi VR46 miliknya akan mengikut jejak langkahnya.

Bagnaia menyasarkan untuk muncul pelumba Itali yang pertama menjadi juara MotoGP sejak kali terakhir dilakukan oleh Rossi pada 2009.

Rossi, 43, adalah juara dunia sembilan kali dengan tujuh daripadanya dalam kelas perdana.

Bagnaia berada 23 mata di hadapan Fabio Quartararo dalam kedudukan pelumba MotoGP menjelang pusingan terakhir musim ini.

Dia berjaya menyekat kemaraan Quartararo yang pada satu ketika pernah selesa mendahului 91 mata.

Bagnaia pastinya berharap dapat mengelak mengulangi mimpi ngeri seperti dialami Rossi pada 2006 yang mendahului kedudukan pelumba menjelang perlumbaan terakhir namun gagal menamatkan perlumbaan sekali gus menyerah gelaran juara dunia kepada Nicky Hayden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:48 AM