PEMAIN Chelsea, Cesc Fabregas menangis ketika aksi menentang Nottingham Forest. FOTO Reuters
PEMAIN Chelsea, Cesc Fabregas menangis ketika aksi menentang Nottingham Forest. FOTO Reuters
AFP

MONACO: Pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas dijangka berada di Monaco pada hari ini, bagi membincangkan soal perpindahannya dari Chelsea ke kelab Ligue 1 Perancis, menurut laporan L’Equipe.

Fabregas dan ejennya, Darren Dein akan bertemu Naib Presiden Monaco, Vadim Vasyliev, meskipun sumber memaklumkan kepada APF bahawa perpindahan itu masih belum diputuskan.

Fabregas, 31, beraksi selama empat musim di Arsenal (2003-2007) bersama jurulatih Monaco pada masa ini, Thierry Henry.

Dia berpindah ke Chelsea pada 2014, tetapi tidak berada dalam perancangan masa depan jurulatih, Maurizio Sarri apabila hanya bermain enam kali di sepanjang musim.

Pada perlawanan awal pagi tadi (Piala FA), Fabregas menitiskan air mata kerana ia mungkin menjadi perlawanan terakhir sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Chelsea.

Chelsea menang 2-0 ke atas Nottingham Forest di Stamford Bridge, namun Fabregas gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya diselamatkan penjaga gawang pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:05 AM