KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Zaid Salim
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


PEMANDU dan empat penumpang kereta cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh di persimpangan hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Kejadian itu berlaku 9.30 malam tadi apabila Proton Iswara dinaiki mereka itu membelok ke kanan menuju ke HSNZ.

Kenderaan mereka kemudiannya dirempuh Perodua Myvi yang dinaiki enam orang dari arah pusat bandar raya.

Seorang daripada penumpang Proton Iswara berkenaan, Rosli Ibrahim, 46, berkata, kereta dipandu adik iparnya, Mohd Bahari Malek membelok ke kanan apabila lampu isyarat di laluannya hijau.

Menurutnya, tidak sempat kenderaan dinaikinya masuk ke kawasan HSNZ tiba-tiba Perodua Myvi itu datang lalu merempuh keretanya.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan kemudiannya saya tidak sedar dan pitam seketika tetapi bersyukur kerana isteri, anak, adik ipar dan saudara isteri saya selamat walaupun mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia mahu ke HSNZ untuk menghantar makanan kepada ibu mentuanya yang menerima rawatan di hospital terbabit.

Dia yang bekerja di Kuantan berkata, dia sedang bercuti sempena Aidilfitri dan pulang beraya di kampung isterinya di Kampung Kelulut, Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 12:00 AM