SISTEM Samsung Pay yang dipasang dalam telefon.
SISTEM Samsung Pay yang dipasang dalam telefon.
Afiq Hanif

Penggunaan sistem bayaran menggunakan Samsung Pay lebih selamat berbanding kad kredit biasa.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Maybank Michael Foong, berkata ciri keselamatan dalam telefon terbabit lebih kukuh dan sukar untuk diceroboh mengikut.

“Kami galakkan pengguna yang mempunyai telefon berkeupayaan Samsung Pay di negara ini memanfaatkan sepenuhnya sistem bayaran digital baru yang lebih selamat dan moden,” katanya ketika sesi ujian Samsung Pay kepada media yang turut dianjurkan Samsung Malaysia Electronics (SME) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pihak media diberikan senarai beberapa lokasi kedai di sebuah pusat beli-belah yang menerima sistem Samsung Pay disambungkan mengikut sistem komunikasi medan terhampir (NFC).

“Pemegang kad kami mendapat manfaat penggunaan amat besar berikutan dompet digital Maybank Samsung Pay boleh digunakan di mana-mana terminal kad seluruh dunia,” kata Foong.

Maybank menjangkakan Maybank Samsung Pay akan menambah pelanggan yang menggunakan kaedah bayaran tanpa sentuh daripada pemegang kad sekurang-kurangnya 100 peratus menjelang akhir tahun 2017.

Katanya, Maybank percaya pelaksanaan inovasi berterusan dalam bidang dompet digital membolehkan pelanggan mendapat manfaat daripada kaedah pembayaran yang selamat ini, sekali gus meningkatkan gaya hidup dalam persekitaran global hari ini yang serba pantas.

Sementara itu, Naib Presiden IT dan Unit Perniagaan Mudah Alihnya Lee Jui Siang berkata, pihaknya akan menambah institusi kewangan yang boleh dipadankan dengan Samsung Pay dalam masa terdekat.

“Kami mahu semua pengguna memperoleh manfaat dan ia akan direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 11:25 AM