Afiq Hanif


Bagi penguji, pengenalan Galaxy C9 Pro yang dihasilkan Samsung tertumpu kepada dua spesifikasi iaitu RAM sebanyak 6GB dan skrin 6.0 inci jadi sesuai dikatakan ia phablet yang besar kepada pengguna.

Manfaat paling menarik yang penguji lihat sudah pasti menonton pelbagai hiburan hasil skrin yang besar terbabit.

Dari FB Live hinggalah siaran iflix, nampak imej terpapar di skrin cukup baik ditambah resolusi HD Penuh pada Super AMOLED memang memakau dan boleh mendatangkan gian sehinggalah data habis menonton.

Berbekalkan audio stereo yang anda, anda boleh mendapat hiburan mini namun lebih baik kalau dipasang dengan sistem pembesar suara mudah alih atau fon telinga kalau mahu ia benar-benar memberi kesan.

Begitu juga ketika bermain game. Mengambil contoh Dream League yang agak berat, penguji tidak menghadapi masalah ‘lag’ dan lebih baik apabila membuka dua tiga game yang berat pada masa sama pun bukanlah masalah.

Terima kasih kepada RAM yang tinggi terbabit.

Operasi menggunakan telefon bersaiz 6.0 inci memang memerlukan dua tangan terutama ketika menaip, kalau tidak memang lenguh cuba mencapai ibu jari untuk menekan butang digital yang kecil.

Samsung Galaxy C9 Pro memiliki tiga slot kad berasingan yang mencukupi untuk dua kad SIM dan satu kad microSD.

Namun penguji paling ‘berkenan’ dengan jangka hayat baterinya walaupun nampak biasa pada 4000mAh.

Sekali pakai, cukup sehari barulah bateri beransur habis dengan amaran sehingga lima peratus itupun masih boleh dipakai untuk menonton satu lagi video YouTube 20 minit atau membalas Whatsapp selama sejam.

Cuma, mungkin Samsung boleh menyemak semula prestasi kamera serta memasukkan ciri hebat seperti Samsung Pay kerana jika tidak, telefon pintar ini mungkin boleh tewas dengan adiknya sendiri seperti Samsung Galaxy A7 (2017).

Samsung Galaxy C9 Pro dijual pada harga RM2,299.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 2:57 AM