Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Transaksi pembayaran tanpa menggunakan tunai atau kad terus mencatatkan pertumbuhan menggalakkan khususnya dengan ciri keselamatan yang lebih meyakinkan.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Maybank Michael Foong berkata, pihaknya merekodkan pertumbuhan sejak dua tahun lalu untuk transaksi mudah alih dan transaksi secara dalam talian.

“Kadar pertumbuhan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa transaksi tanpa menggunakan tunai terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

“Malah, dengan kemajuan teknologi, tahap keselamatan turut dipertingkatkan bagi meyakinkan pengguna bahawa transaksi seumpama ini jauh lebih selamat berbanding penggunaan tunai atau kad,” katanya, di sini, semalam.

Bagi tempoh 2015 hingga 2016, jumlah pengguna mudah alih yang aktif mencatatkan peningkatan 36.1 peratus dengan transaksi meningkat 72 peratus.

Beliau berkata, Samsung Pay antara sistem pembayaran yang menjadi pilihan pelanggan Maybank kerana langkah pembayaran yang ringkas selain faktor keselamatan yang ditawarkan.

“Penggunaan Samsung Pay jauh lebih selamat berbanding transaksi tradisional kerana pengguna hanya perlu membuat pengesahan secara cap jari atau memasukkan nombor keselamatan.

“Ia jauh lebih ringkas berbanding penggunaan kad debit atau kredit,” katanya.

Menurutnya, tidak timbul isu kecurian data kerana Samsung Pay dilengkapi teknologi dikenali sebagai KNOX yang mana jika terdapat pihak cuba menggodam bahagian storan memori telefon pintar itu, ia akan terpadam serta-merta.

“Jika telefon pintar itu hilang sekali pun, ia tidak bermakna maklumat perbankan dan pembayaran dapat diakses pihak ketiga,” katanya.

Sehingga kini, jumlah pengguna Samsung Pay dalam kalangan pelanggan Maybank meningkat 70 peratus setiap bulan dengan 51 peratus mewakili pengguna unik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 10:26 AM