Afiq Hanif


Kuala Lumpur: Samsung memperkenalkan siri baru Galaxy A (2017) mulai hari ini yang menampilkan kelainan berbanding model sama pada tahun lalu apabila ia dilengkapi ciri IP68 menjadikannya kalis air dan debu.

Dua model Galaxy A yang dipasarkan di negara ini adalah Galaxy A5 dan A7.

Naib Presiden IT dan Unit Perniagaan Mudah Alihnya, Lee Jui Siang berkata, kedua-dua produk berkenaan disasarkan kepada golongan milenial yang aktif.

“Gaya hidup pengguna yang aktif sekarang memerlukan peranti yang menepati penampilan mereka, jadi kami tampilkan Galaxy A,” katanya selepas pelancaran model itu di sini, semalam.

Galaxy A (2017) mempunyai keupayaan merakam pada pencahayaan rendah dengan ciri swafoto lebih terperinci terutama pada waktu malam apabila ia turut dipasang dengan lampu ‘flash’ untuk kamera depan.

Samsung juga memperkemaskan kualiti video yang membolehkan individu berminat melakukan penampilan khas dalam Facebook menjadi lebih cantik.

Kedua-dua model berkenaan mempunyai skrin 5.7 inci dan 5.2 inci jenis HD penuh bersama ciri IP68 untuk kalis air dan debu.

Kedua-dua model itu juga dilengkapi dengan ciri Samsung Pay di mana pengguna boleh membuat bayaran di kedai dan restoran terpilih hanya dengan menggunakan telefon mereka.

Setakat ini, bank yang menyertai ciri Samsung Pay ialah Maybank sebelum akan diperluaskan dengan kerjasama CIMB Bank, Citibank dan Standard Chartered.

Selain itu, Samsung turut menampilkan dua selebriti, Amyra Rosli dan Iedil Putra ketika pelancaran berkenaan, semalam.

Galaxy A7 dijual pada harga RM1,899, manakala Galaxy A5 berharga RM1,699.

Pratempahan boleh dibuat mulai hari ini sehingga 15 Januari yang disertakan bersama fon telinga Level U Pro bernilai RM399.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 7:22 AM
Lee (tengah) pada majlis pelancaran Samsung Galaxy A (2017), semalam.
Lee (tengah) pada majlis pelancaran Samsung Galaxy A (2017), semalam.