Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics mengumumkan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi memperkenalkan perkhidmatan dompet digital, Samsung Pay di Malaysia, hari ini.

Timbalan Presiden Perniagaan Mobil & IT Samsung Malaysia Electronics, Lee Jui Siang, berkata, Samsung Pay kini boleh digunakan oleh pelanggan empat bank iaitu CIMB, Citibank, Maybank dan Standard Chartered.

Perkhidmatan ini turut akan diperkenalkan Hong Leong Bank dalam masa dua minggu ini, katanya.

Ibarat dompet digital, Samsung Pay menyimpan maklumat kad kredit, kad debit, dan kad kesetiaan dalam aplikasi Samsung Pay yang tersedia dalam model telefon pintar Samsung.

Bagi membuat pembayaran, pengguna hanya perlu mengimbas telefon pintar pada mesin pembaca kad Samsung Pay.

Katanya, setakat ini, Samsung Pay boleh digunakan menerusi kad kredit dan debit Maybank serta kad debit bagi tiga bank yang lain.

Jui Siang berkata, Samsung Pay bukan setakat memperkenalkan revolusi bagi pembayaran digital, malah ia turut menawarkan pembayaran digital yang lebih selamat.

"Samsung berkerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi memperbaiki sistem pembayaran mudah alih yang lebih selamat," katanya.

Samsung Pay hanya boleh digunakan dengan telefon pintar Samsung terpilih termasuk model Galaxy S7 dan S7 Edge, S6 Edge+, Note 5, Galaxy A5 dan A7.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 12:49 PM
JUI Siang (empat kanan) bersama wakil bank ketika majlis pelancaran. FOTO Ridhatul Rizki
JUI Siang (empat kanan) bersama wakil bank ketika majlis pelancaran. FOTO Ridhatul Rizki