Hadzlihady Hassan

Georgetown: Polis tahan seorang lelaki dan rampas bahan menghasilkan syabu bernilai RM 1.35 juta dalam serbuan di rumah di Paya Terubong, Air Itam, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, serbuan dilakukan pada 3.20 petang selepas polis melakukan risikan dan juga hasil maklumat awam.

Menurutnya, siastan mendapati suspek yang berusia 50 tahun itu menjadikan rumah teres tiga tingkat yang disewanya sebagai makmal memproses syabu.

"Suspek adalah bekas kontraktor pemasangan lantai dan pemeriksaan mendapati dia memiliki dua rekod jenayah lampau.

"Suspek direman hingga Ahad ini bagi membantu siastan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek menggunakan minyak methamphetamine kitar semula yang dipercayai dibeli daripada sindiket pengedaran dadah lain.

"Syabu yang dihasilkan suspek dikatakan kurang berkualiti kerana dia menggunakan bahan kitar semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 1:48 PM