PENDUDUK Ain Sefra terkejut apabila melihat jalan raya di bandar itu dilitupi salji tebal. -  Agensi
PENDUDUK Ain Sefra terkejut apabila melihat jalan raya di bandar itu dilitupi salji tebal. - Agensi
KANAK-KANAK bermain di bukit bersalji di Ain Sefra, kali pertama dalam hidup mereka. - Agensi
KANAK-KANAK bermain di bukit bersalji di Ain Sefra, kali pertama dalam hidup mereka. - Agensi
Agensi

Algiers: Gurun Sahara dilanda salji paling lebat pernah berlaku berikutan ribut musim sejuk mengejutkan di Algeria, kelmarin.

Gambar yang dirakam menunjukkan bandar Ain Sefra di padang pasir itu dilitupi salji sedalam sekurang-kurangnya satu meter.

Kawasan padang pasir paling panas di dunia itu menyaksikan sedikit salji hujung bulan lalu, kali pertama dalam masa 37 tahun.

Bagaimanapun, kelmarin, salji lebih lebat melanda dan beberapa kawasan di bandar yang dikenali sebagai ‘pintu masuk ke Sahara’ itu dilapor dilitupi salji sehingga paras pinggang.

Keadaan itu mencetuskan huru-hara di bandar itu dengan penumpang terkandas di dalam bas apabila jalan raya menjadi licin dan berais.

Yang paling gembira ialah kanak-kanak. Mereka mengambil kesempatan membina orang salji dan menggelongsor bukit yang selama ini berbatu dan gersang.

Bagi mereka, ini pengalaman pertama mereka menghadapi salji.

Menurut jurugambar Sekkouri Kamel, 38: “Salji bermula kira-kira jam 1.30 pagi ini (kelmarin) dan ia kini sedalam satu meter di beberapa tempat. Penduduk terkejut dengan keadaan itu.”

Kali terakhir salji melanda Ain Sefra ialah pada 18 Februari 1979, tetapi ia berlaku hanya beberapa minit.

Ain Sefra yang terletak tidak jauh dari sempadan Maghribi berada kira-kira 1,000 meter dari paras laut dan dikelilingi Gunung Atlas.

Gurun Sahara meliputi hampir keseluruhan utara Afrika dan ia mengalami perubahan suhu dan kelembapan sepanjang ribuan tahun lalu.

Saintis berkata, walaupun kawasan itu amat kering sepanjang masa, ia dijangka bertukar menjadi hijau semula pada kira-kira 15,000 tahun akan datang.

Salji melanda Sahara kelmarin beberapa hari selepas 2016 diisytiharkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:12 AM