KRISIS iklim memainkan peranan kemunculan salji di Gurun Sahara. FOTO IG karim_bouchetat
KRISIS iklim memainkan peranan kemunculan salji di Gurun Sahara. FOTO IG karim_bouchetat
Agensi

Algiers: Salji meninggalkan corak memukau merentasi bukit pasir Gurun Sahara selepas suhu turun di bawah sifar.

Imej yang dirakam awal bulan ini menunjukkan salji dan ais berhampiran bandar Ain Sefra di barat laut Algeria.

Kawasan ini bersalji untuk beberapa kali dalam tempoh 40 tahun lalu.

Ain Sefra terletak di Pergunungan Atlas pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut dan dikenali sebagai pintu masuk padang pasir.

Ia terletak di wilayah Naama di Algeria, di bahagian utara Sahara berhampiran sempadan Maghribi.

Walaupun suhu berbeza di padang pasir terbesar di dunia itu namun perubahan suhu sehingga kawasan dilitupi salji dan ais masih jarang berlaku.

Kejadian salji pernah direkodkan di Ain Sefra pada 1979, 2017, 2018 dan tahun lalu.

Kuantiti salji juga berbeza daripada ribut salji menyebabkan penutupan jalan raya 1979, hingga berukuran 40 sentimeter (sm) pada 2018.

Suhu tertingginya direkodkan 37 darjah Celsius pada musim panas dan suhu terendah, negatif 10.2 darjah Celsius pada musim sejuk.

Salji di Sahara sesuatu yang luar biasa, kata jurucakap Pejabat Meteorologi United Kingdom (UK) seperti dilaporkan The Independent.

Iklim ekstrem di Sahara sukar dikenal pasti berikutan kekurangan data dan kajian saintifik, menurut Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (IPCC), pada 2018.

Keadaan yang lebih panas, kering dan corak cuaca yang berubah dikaitkan dengan krisis iklim di Afrika bermakna Gurun Sahara semakin membesar akibat peningkatan suhu.

Krisis iklim tidak sama di seluruh wilayah, bermakna walaupun suhu meningkat di beberapa tempat namun ada kawasan yang mengalami sejuk melampau.

Ketua Perkhidmatan Persekutuan Rusia untuk Hidrometeorologi dan Pemantauan Alam Sekitar, Roman Vilfand berkata, krisis iklim memainkan peranan dalam keadaan salji Gurun Sahara.

"Situasi sedemikian boleh menyebabkan berlaku lebih kerap musim sejuk panjang di Amerika Utara, cuaca panas di bahagian Eropah di Rusia dan hujan berterusan hingga menyebabkan banjir di negara Eropah Barat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:30 AM