Kanak-kanak bermain salji di bandar  Ain Sefra, Algeria, yang terletak di Gurun Sahara selepas salji turun buat kali kedua tahun ini. - Foto Daily Mail
Kanak-kanak bermain salji di bandar Ain Sefra, Algeria, yang terletak di Gurun Sahara selepas salji turun buat kali kedua tahun ini. - Foto Daily Mail
Agensi

BUAT kali kedua tahun ini, salji turun di sebahagian Gurun Sahara semalam, menyebabkan bandar Ain Sefra di Algeria diliputi salji.

Menurut laporan Daily Mail, kali terakhir salji turun di kawasan itu ialah Disember 2016 selepas 37 tahun dan semalam, orang ramai serta kanak-kanak bermain salji yang menutupi pasir di luar bandar berkenaan.

Pada awal Januari lalu, salji setebal sehingga 40 sentimeter meliputi bandar Ain Sefra dan kawasan sekitarnya mulai awal pagi hingga petang.

Pada 2016, bandar itu yang digelar ‘Pintu Masuk Ke Gurun’, diliputi salji tebal pada hujung tahun menyebabkan situasi jadi kelam-kabut dengan penumpang terkandas dalam bas akibat jalan raya menjadi licin.

Sebelum ini, kali terakhir salji turun di Ain Sefra ialah pada 18 Februari 1979 selama setengah jam.

Ain Sefra terletak lebih 1,000 meter dari paras laut dan dikelilingi pergunungan Atlas.

Suhu normal bandar itu pada hujung dan awal tahun ialah sekitar enam hingga 12 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:21 PM