SEBAHAGIAN arca patung yang dipamerkan penganjur sempena Festival Salji Sapporo.
SEBAHAGIAN arca patung yang dipamerkan penganjur sempena Festival Salji Sapporo.
AFP

Sapporo: Setiap tahun, jutaan pelancong berkunjung ke Festival Salji Sapporo, Jepun kerana tarikan kira-kira 200 arca yang unik dan kompleks.

Namun, ia dijangka tidak berlaku tahun ini kerana masalah kekurangan salji yang memaksa penganjur membawa masuk salji dari luar demi menjamin kualiti patung dipamerkan.

“Kekurangan salji dan ais tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Yumato Sato, wakil rasmi penganjur festival itu yang biasanya menggunakan 30,000 tan salji untuk menghasilkan patung daripada watak animasi hingga kuda lumba terkenal.

Sato berkata, bagi menampung keperluan, salji diambil dari tempat yang tidak pernah dijejak sebelum ini seperti Niseko, bandar terkenal dengan luncur ski yang terletak 60 kilometer dari Sapporo.

Bagaimanapun, katanya, masalah bertambah apabila tiada salji yang sempurna untuk membentuk arca dan ia beri kesan ketara apabila pihaknya terpaksa mengecilkan saiz patung.

“Salji yang digunakan perlu bebas daripada kekotoran, kerana jika tidak, ia akan merosakkan arca. Kami hampir tidak berjaya membentuk salji untuk patung,” katanya.

Jepun merekodkan kadar salji paling rendah tahun ini yang memaksa banyak resort ski menutup trek mereka dan menurut Weathernews, suku daripada 400 resort berdepan kesukaran beroperasi.

Pemerhatian badan meteorologi tempatan pula melaporkan salji di Sapporo kurang daripada setengah purata tahunan, sementara peningkatan suhu pada pertengahan Disember menyebabkan salji mencair.

Ia juga cabaran buat 125 anggota pasukan keselamatan tempatan yang bersusah payah membentuk arca di festival itu, setiap tahun.

Kali ini pasukan itu membina patung berketinggian 15 meter dan 20 meter lebar di atas istana di Taman Lazienki, Warsaw bersempena 100 tahun hubungan diplomatik Jepun-Poland.

Kolonel Minoru Suzuki berkata, mereka tidak mempunyai salji mencukupi untuk pembinaan itu disebabkan cuaca panas malah, salji yang sudah dibentuk pula mengandungi banyak air yang mengakibatkan patung cepat cair.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:00 AM