Resit deposit wang yang dimasukkan ke dalam akaun seorang lelaki di China. - Foto SCMP
Resit deposit wang yang dimasukkan ke dalam akaun seorang lelaki di China. - Foto SCMP
Agensi

Changsha, Hunan (China): Seorang lelaki di bandar ini menjadi bilionair terbaru China selama beberapa jam selepas bank tersilap memindahkan wang berjumlah 1.2 bilion yuan (RM777 juta) ke dalam akaunnya, minggu ini.

Lelaki yang enggan dikenali itu pergi ke sebuah bank untuk memindahkan wang ke akaunnya yang baru dan terus pulang selepas selesai proses itu tanpa memeriksa buku akaunnya.

Menurut South China Morning Post, tidak lama selepas sampai ke rumah, dia menerima panggilan daripada bank memberitahu mereka tersilap memasukkan jumlah wang ke dalam akaunnya dan diminta kembali ke cawangan bank berkenaan pembetulan.

Selepas menerima panggilan itu, dia memeriksa buku akaunnya dan terkejut mendapati jumlah wangnya ialah 1,212,405,360 yuan.

“Sudah lebih 6 petang apabila saya kembali ke bank dan mendapati semua kakitangan bank sedang menunggu saya. Saya kemudian diberi sekotak rokok dan sampul merah berisi angpau,” tulis lelaki itu dalam laman media sosialnya.

Jumlah angpau yang diberi pihak bank kepadanya dikatakan sebanyak 200 yuan (RM129).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 7:42 PM