Joseph azam sumbat gol setiap perlawanan. FOTO HM
Joseph azam sumbat gol setiap perlawanan. FOTO HM
BERNAMA

Kuantan: Penyerang baru Pahang Joseph Kallang Tie menetapkan sasaran peribadi untuk mencipta jaringan dalam setiap perlawanan.

Joseph, 29, dikenali sebagai pemain yang mampu mencipta jaringan dari jarak jauh meletakkan sasaran sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi dirinya dalam pasukan itu.

"Saya turut meletakkan cabaran kepada diri sendiri bagi membantu skuad Tok Gajah kembali digeruni sehingga berjaya menjulang kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia," katanya hari ini.

Joseph menganggap penghijrahannya sebagai cabaran baru untuk menikmati kejayaan dengan memberi fokus kepada pasukan.

Tekanan sentiasa ada dengan pembabitan dalam pasukan baru namun dia menganggap cabaran perkara positif dan kejayaan sesebuah pasukan terletak kepada kerja keras setiap pemain.

"Apa penting bagi saya sekarang adalah lebih fokus untuk mencipta permulaan lebih baik dan mengurangkan kesilapan," katanya.

Beliau antara empat pemain dari Terengganu yang berhijrah ke Pahang musim ini bersama 11 lagi pemain baru.

Skuad Tok Gajah turut mendapat khidmat empat pemain import baru.

Pahang bertandang ke tempat lawan menentang Perak pada perlawanan pembukaan Liga Super Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 4:18 PM