ZULKIFLI
ZULKIFLI
ANTARA rekaan pakaian pengantin yang dihasilkan.
ANTARA rekaan pakaian pengantin yang dihasilkan.
Hajahfarhana Tarmudi


Apabila banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum menjelang majlis keraian, pastinya ada saja kesilapan. Hinggakan kesilapan yang biasa-biasa juga ada kalanya menimbulkan rasa tidak puas hati kerana majlis tidak berlangsung seperti diinginkan.

Lebih menyedihkan apabila tetamu yang hadir memberi komen menyakitkan hati apabila berasakan penampilan pengantin di atas pelamin tampak kurang menarik sekali gus turut mempengaruhi rakaman gambar perkahwinan.

Bermula daripada rekaan persalinan, tema dan warna majlis hinggalah dekorasi pelamin, semuanya memainkan peranan penting untuk memastikan majlis berlangsung penuh meriah.

Pemilik De Siam Tailor, Zulkifli Abd Rahman berkata, banyak perkara yang perlu diambil perhatian jika mahukan majlis resepsi berlangsung seperti yang dirancang.

“Kesilapan biasa yang selalu dilakukan bakal pengantin adalah mereka suka membelek pelbagai majalah dan akan menunjukkan rekaan diinginkan kepada pereka untuk menghasilkan persalinan sama terutama yang pernah digayakan artis ternama.

“Ada kalanya rekaan yang diinginkan tidak sesuai dengan bakal pengantin itu sendiri kerana setiap orang mempunyai personaliti berbeza.

“Bukan itu saja, saya sering melihat pemilihan material yang salah untuk rekaan persalinan yang dikehendaki. Malah, ada yang sudah membeli fabrik yang diinginkan tanpa membuat rujukan dengan pereka terlebih dulu,” katanya.

Jelasnya, di sinilah pentingnya perbincangan bersama pereka supaya tidak berlaku pemilihan persalinan yang tidak sesuai dengan bentuk tubuh, material dan rekaan.

Material yang biasa digunakan dalam pakaian pengantin ialah sifon, organza, kain net, renda dan songket yang diolah mengikut kesesuaian si pemakainya.

Namun, bagi tidak menghampakan permintaan bakal pengantin Zulkifli lebih suka memberi tunjuk ajar terbaik untuk mengolah material yang dibeli pelanggan dalam menghasilkan persalinan yang sesuai dengan mereka.

Zulkifli mula menceburi bidang jahitan sejak usianya 13 tahun kerana mengikut jejak langkah emaknya. Ayahnya tidak pernah menghalang dia memilih tukang jahit sebagai kerjaya.

“Saya suka melihat emak menjahit dan dari situ mula belajar. Saya memberanikan diri menerima tempahan. Selepas seorang kawan meminta saya menjahit langsir rumahnya, saya nekad untuk menjadi tukang jahit.

“Kemudian, saya menerima tempahan daripada sekolah sendiri. Ketika itu, saya memberi fokus kepada jahitan langsir dan perhiasan rumah.

“Namun, lima tahun kebelakangan ini minat saya mula terarah kepada jahitan baju kerana saya sendiri memang sukakan fesyen,” katanya.

Bagi memantapkan lagi hasil jahitan, dia menyertai kelas anjuran pereka fesyen, Adnan Hassan sekali gus mendapat galakan untuk terus mengetengahkan bakat yang dimiliki.

Ujarnya, 70 peratus jahitannya memberi penekanan kepada rekaan pakaian pengantin. Justeru, sebelum memulakan jahitan, dia lebih suka memikirkan rekaan yang menarik dan anggun bagi membantu menyerlahkan kecantikan si pemakai.

Anak kesembilan daripada 13 beradik yang turut menerima tempahan secara dalam talian selain memiliki butik sendiri di Kota Tinggi ini menambah, dia memahami keinginan bakal pengantin yang mengimpikan persalinan menarik.

Justeru, dia lebih suka bertanya mengenai cita rasa pelanggan sebelum membuat rekaan yang sesuai. Baginya, penting untuk bakal pengantin memilih rekaan mengikut personaliti diri sendiri bagi mengelakkan pakaian yang dipakai menenggelamkan seri pengantin, namun semuanya bergantung kepada kehendak mereka.

Apabila berbicara mengenai trend semasa persalinan pengantin, dia lebih gemar memilih dan menghasilkan rekaan yang berani, tampak bertenaga dan ekstravaganza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:03 AM