MODEL menggayakan konsep jalanan Harajuku dengan sentuhan revolusi seni pada cetakan fabrik.
MODEL menggayakan konsep jalanan Harajuku dengan sentuhan revolusi seni pada cetakan fabrik.
Nurul Husna Mahmud


Meskipun tema rekaan busana tiga pereka muda, Kharul Afrina Norhairulnizam, Noor Adilah Norismail dan Intan Wahyunie Masmuni adalah sama iaitu mengenai revolusi, interperitasi terhasil daripada persembahan mereka cukup berbeza.

Tiga pereka itu yang juga pelajar tahun akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar, Perak memiliki idea atau konsep itersendiri bagi menampilkan rekaan bertemakan revolusi.

Kharul Afrina yang ketika ini bekerja sebagai pereka di sebuah butik pengantin, melihat revolusi seni antara paling relevan dengan konsep berkenaan.

"Pada saya, paling relevan dengan tema revolusi ialah revolusi seni itu sendiri yang mana terdapat era dalam aliran seni.

"Ada fahaman atau pelopor seni dengan ideanisme cubism iaitu seni 'avant-grade' atau abstrak yang muncul pada era tahun 1920, sebelum itu pula gerakan pelukis dari Perancis yang memperkenalkan Fauvism iaitu tema lukisan lebih realistik selain penekanan warna pada awal 1900-an dan banyak lagi," katanya.

Tambah Khairul Afrina, meskipun perlu menghasilkan tiga busana untuk projek kali ini, ia tidak mudah terutama di peringkat pemilihan material.

Dia mengambil masa lima bulan bagi menyiapkan tiga rekaan bermula Oktober sehingga Februari tahun lalu.

"Cabarannya adalah ketika proses menyiapkan rekaan pakaian itu, kes Covid-19 pula sedang meningkat.

"Kekangan saya ialah kekurangan bahan untuk buat eksperimen selain mencari perkhidmatan cetakan fabrik yang sesuai dengan konsep atau rekaan saya," katanya.

NOORADILAH bersama model yang menggayakan pakaiannya.
NOORADILAH bersama model yang menggayakan pakaiannya.

Rekaan yang diketengahkan pereka kelahiran Bangi, Selangor itu ialah gaya jalanan ala Jepun atau Harajuku yang popular dengan potongan menggelebeh (baggy), hud selain skirt kembang.

"Inspirasi saya banyak dari pereka jalanan seperti Tsumori Chisato dan Walter Van Java yang banyak mengangkat penggayaan jalanan kepada gaya sesuai dengan penampilan golongan elit.

"Fokus saya ialah gaya jalanan haluan Timur iaitu dari Jepun yang dipanggil Harajuku. Saya menggunakan material atau fabrik kapas khas yang dipanggil 'cotton drill.'

"Fabrik kapas ini bertekstur dan tahan lasak. Saya turut guna material lain sebagai perincian seperti kapas lembut. Hasil yang menonjol saya buat kolaj seni dan cetakan pada fabrik," katanya.

Rakannya, Noor Adilah Norismail pula selesa menggunakan cetakan muka depan akhbar dari serata dunia sebagai perincian penting dalam rekaan bertema revolusi.

"Media massa antara yang menerima impak revolusi apabila dulu mediumnya adalah cetakan dan kini beralih kepada digital.

"Ciri-ciri fizikal lebih ketara apabila diperhatikan ialah susunan muka depan selain penggunaan jenis dan saiz tulisan setiap akhbar itu sendiri.

"Atas faktor itu saya memilih konsep itu sebagai ciri-ciri utama iaitu menggunakan ia sebagai cetakan kepada fabrik skuba," katanya.

Revolusi juga buat dirinya sebagai pereka apabila kali pertama menghasilkan rekaan pakaian lelaki.

"Saya mengambil masa dua bulan untuk kajian, kemudian dua bulan bagi hasilkan rekaan dan bulan terakhir siapkan ketiga-tiga baju.

"Sebenarnya cabaran juga bagi saya yang tidak pernah hasilkan sebarang rekaan pakaian lelaki. Saya perlu peka elemen maskulin selain pakaian itu perlu terletak cantik apabila digayakan," katanya.

KHAIRUL Afrina mengemaskan perincian jahitan pada baju.
KHAIRUL Afrina mengemaskan perincian jahitan pada baju.

Pereka Intan Wahyunie Masmuni pula memilih menggunakan material terbuang sebagai bahan utama dalam rekaan busananya.

Katanya konsep itu sesuai dengan tema revolusi yang mana satu ketika dahulu sampah dibuang begitu sahaja dan kini dilihat mempunyai nilai tertentu.

"Idea utama saya ialah gunakan 'polymailers' iaitu pelekat yang memaparkan barang mudah pecah sebagai material yang biasanya terbuang begitu sahaja.

"Bukan mudah untuk ubah suai pelekat terbabit supaya boleh jadi material yang sesuai digunakan sebagai fabrik utama.

"Bahan kajian untuk ini sahaja saya memakan masa tiga bulan sebelum menghasilkan rekaan sesuai juga memerlukan tempoh satu bulan. Baki sebulan lagi untuk siapkan pakaian berkenaan," katanya

Mengakui agak bimbang dengan rekaan kerana tidak berasakan material itu selesa digayakan.

"Namapun polimer atau pelekat, jadi mungkin model akan berasa tidak selesa ketika digayakan.

Tetapi reaksi model tampak santai selain memberi maklum balas positif membuatkan saya yakin rekaan busana saya relevan," katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti itu, Khalik Mustafa berkata, cabaran pereka ialah aspek teknikal yang mana ruang untuk bersemuka atau mendapatkan pandangan cukup terhad.

"Susah sebenarnya pereka ini untuk dapatkan penjelasan yang tepat terutama dalam aspek kerja jahitan seperti pola atau teknik jahitan bagi perincian tertentu.

"Mereka terpaksa cari alternatif atau solusi kepada masalah teknikal supaya rekaan mereka menepati kriteria yang boleh pakai selain relevan dengan konsep dan tema ditetapkan dalam tugasan kali ini iaitu Revolusi.

"Lihat pula cabaran kali ini, pereka pakaian antara paling terkesan kerana pemain industri sedia ada sedang 'survival' apabila ramai terkesan ketika pandemik Covid-19.

"Pereka baru seperti pelajar ini perlu persiapkan kemahiran sampingan terutama dalam pemasaran supaya mereka boleh menempatkan diri dalam pasaran atau industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:00 AM