ANTARA rekaan menarik busana pengantin yang dihasilkan Izuanny.
ANTARA rekaan menarik busana pengantin yang dihasilkan Izuanny.
BEKERJA di rumah memberikan masa yang lebih fleksibel.
BEKERJA di rumah memberikan masa yang lebih fleksibel.
IZUANNY banyak lakukan kajian dan mendapatkan ilham daripada hasil kerja pereka busana perkahwinan antarabangsa.
IZUANNY banyak lakukan kajian dan mendapatkan ilham daripada hasil kerja pereka busana perkahwinan antarabangsa.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Minat mampu mengubah segalanya. Atas nama minat juga, perkara yang dianggap mustahil oleh individu lain berupaya menjadi sesuatu yang mengagumkan pada diri.

Atas dasar minat jugalah membuatkan pereka muda ini sedia mendepani cabaran dengan bergerak sendirian dan membina jenamanya sendiri.

Setiap pereka mempunyai ideologi tersendiri dan tidak sepatutnya diletakkan label atas nama masing-masing. Seperti apa yang dipaparkan Nour Izuanny Abu Bakar dalam cetusan ilhamnya, kefahaman kepada kehendak pelanggan lebih diberi keutamaan.

Bergerak dengan jenama Nour by Nour Izuanny yang banyak mengetengahkan busana pengantin, pereka berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini berusaha keras membina jenamanya di rumah.

“Ia bermula apabila saya menghasilkan sendiri pakaian untuk majlis perkahwinan atas faktor kepuasan diri. Sejak itu ada beberapa rakan yang minta bantuan untuk hasilkan busana perkahwinan mereka hinggalah jenama saya dikenali menerusi promosi mulut ke mulut.

“Nour by Nour Izuanny ialah koleksi yang 100 peratus buatan sendiri dan semuanya dihasilkan di rumah. Bekerja di rumah ini bukan saja memberikan saya masa yang lebih fleksibel malah menawarkan kelesaan kepada pelanggan yang berkunjung untuk sesi perbincangan dan sebagainya,” katanya.

Media sosial seperti Instagram dan Facebook seterusnya banyak memainkan peranan dalam mengembangkan rekaan jenama Nour by Nour Izuanny ini.

“Saling mempercayai antara pereka dan pelanggan menjadi dorongan utama untuk saya terus bergerak ke depan. Cabaran itu sentiasa ada, tetapi ia lebih memberi saya semangat untuk mencipta koleksi yang lebih menarik.

“Saya berpegang kepada aspek kepercayaan dan tolak ansur antara pereka serta pelanggan. Pelanggan itu sentiasa betul, tetapi sebagai pereka kita juga mesti berpegang kepada prinsip atau tanda pengenalan diri sendiri.

“Di sinilah perlu wujudnya kepercayaan, tolak ansur dan saling memahami idea antara satu sama lain,” tambahnya.

Bermula dengan proses perbincangan yang disusuli lakaran rekaan hinggalah ke pilihan fabrik dan penghasilan perincian, semua dilakukan sendiri oleh Izuanny di stesen kerja di tingkat atas kediamannya.

“Saya bergerak sendirian jadi semuanya dibuat sendiri. Menjahit manik dan labuci juga saya lakukan sendiri kerana lebih berpuas hati dan terjaga kualitinya.

“Pernah saya hantar ke butik lain dengan harapan dapat membantu, tetapi akhirnya saya terpaksa buka semula jahitan dan lakukannya sekali lagi.

“Sebolehnya saya tidak mahu dengar rungutan daripada pelanggan dan disebabkan itulah saya agak cerewet hinggakan jahitan kecil di bahagian dalamannya pun saya beri perhatian.

“Tidak dinafikan ia agak memenatkan, tetapi saya lebih teruja untuk memberikan hasil terbaik kepada pelanggan. Dengan cara ini juga membuatkan saya lebih rapat dan memahami personaliti mereka,” ujarnya.

Fabrik satin, sifon dan renda antara material yang paling digemari Izuanny dalam rekaannya.

“Untuk busana pengantin, tiga fabrik ini paling sesuai kerana menampakkan siluet feminin dan selesa digayakan. Kebanyakan fabrik ini saya beli dalam negara. Banyak produk tempatan yang berkualiti.

“Sesekali saja diimport, itu pun bergantung kepada permintaan bakal pengantin,” jelasnya.

Bagi jenis rekaan dan potongan pula, Izuanny tertarik kepada siluet moden yang inspirasinya banyak daripada busana perkahwinan hasil tangan pereka antarabangsa.

“Saya tidak hadkan rekaan pada satu jenis semata-mata. Kadangkala dalam sehelai busana pe­ngantin itu saya masukkan tiga ke empat elemen rekaan juga potongan.

“Di atas kertas ia seakan-akan sarat dengan pelbagai perkara, tetapi hasilnya amat mengagumkan. Bagi saya, seorang pengantin itu perlu kelihatan lebih anggun dan menonjol daripada khalayak, justeru gabungan beberapa elemen ini dilihat sesuai serta menepati konsepnya,” katanya.

Pada masa sama, kajian ke atas trend terkini juga dilakukannya menerusi majalah, media sosial dan melayari laman sesawang pereka busana pengantin antarabangsa.

Selain busana pengantin, Izuanny kini berjinak-jinak dalam helaian sedia dipakai (RTW) dalam edisi terhad.

“Saya merancang hasilkan koleksi RTW pe­ngantin, di samping koleksi Aidilfitri akan datang. Ia masih dalam perancangan dan bergantung kepada keadaan trend semasa,” katanya.

Izuanny tidak ketinggalan berhasrat mengembang­kan koleksi bayi dan kanak-kanaknya. Buat masa ini tumpuan lebih kepada bayi terutama koleksi barangan seperti bantal, alas tilam, sarung tangan, kain barut dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:02 AM