PERTAHANAN Espanyol Javier Lopez (belakang) cuba mengekang pemain Sevilla Sergio Escudero. Foto AFP
PERTAHANAN Espanyol Javier Lopez (belakang) cuba mengekang pemain Sevilla Sergio Escudero. Foto AFP
Reuters

BARCELONA: Impian Atletico Madrid untuk mengejar pendahulu La Liga, Barcelona semakin pudar selepas sekadar seri 1-1 dengan Girona sekali gus bermakna mereka mungkin ketinggalan 11 mata di belakang andai kelab Catalan itu mengalahkan Real Betis hari ini.

Jurulatih Sevilla, Vincenzo Montella mencatat kemenangan pertamanya di La Liga selepas tiga kali mencuba apabila anak buahnya menang 3-0 ke atas Espanyol untuk melonjak ke tangga kelima.

Valencia pula tewas mengejut 1-2 di tangan kelab bawahan, Las Palmas yang menang buat kali pertama sejak dibimbing Paco Jemez pada perlawanan yang menyaksikan pelawat menamatkan aksi dengan sembilan pemain.

Gabriel Paulista dilayangkan dua kad kuning sambil seorang lagi pemain pertahanan, Ruben Vezo turut dilayangkan kad merah.

Villarreal menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid daripada kelompok empat teratas selepas mengalahkan Levante 2-1 tetapi skuad kendalian Zinedine Zidane itu mampu merampas kembali kedudukan berkenaan jika menewaskan Deportivo La Coruna hari ini.

Atletico menduduki tangga kedua La Liga dengan 43 mata selepas 20 perlawanan diikuti Valencia (40) dan Villarreal (34). Barca unggul di persada dengan 51 mata sambil berbaki satu perlawanan di tangan manakala Real mengumpul 32 mata selepas 18 perlawanan.

Bintang Atletico, Antoine Griezmann menjaringkan gol hasil hantaran Diego Costa pada minit ke-34 dan ia adalah gol pertamanya sepanjang lima perlawanan liga tetapi Girona berjaya mencetuskan gerun buat lawannya itu.

Dengan tumpuan turut terarah kepada suku akhir kedua Copa del Rey menentang Sevilla minggu depan, jurulatih Diego Simeone mengeluarkan Costa pada minit ke-61 dan Griezmann sepuluh minit kemudian sekali gus melegakan Girona yang tidak lagi kerap diasak.

Penyerang Girona, Portu memperdayakan penjaga gol Atletico, Jan Oblak pada minit ke-73 selepas pemain tengah Koke gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

“Sukar untuk saya menerangkan sebab mengapa saya mengeluarkan dua pemain utama kerana penyokong hanya melihat kepada keputusan perlawanan,” kata Simeone.

“Costa mengalami sedikit kecederaan otot di babak pertama dan saya mengeluarkannya supaya masalah itu tidak menjadi lebih buruk. Saya mengeluarkan Griezmann kerana saya berpendapat kami menguasai perlawanan dan Koke memberikan kami kekuatan di bahagian tengah tetapi ia tidak berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 9:32 AM