MENDORONG peserta berjaya melakukan tugasan senaman antara tanggungjawab Dee Dee.
MENDORONG peserta berjaya melakukan tugasan senaman antara tanggungjawab Dee Dee.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Mempunyai sejarah kece­deraan lutut membuatkan Mohd Salehuddin Md Zin keberatan melakukan senaman. Bimbang kesan buruk terhadap kecederaan lama, dia menolak cara hidup aktif dan lebih gemar memanjakan diri dan kurang aktif.

Mengakui gemar mengambil jalan singkat dengan mencuba pelbagai produk melangsingkan badan, dia mula putus asa kerana tiada antara produk itu memberi kesan memuaskan.

Namun dia menemui senaman sesuai di Pusat Komuniti & Kelestarian UM (UMCARES) yang me­nganjurkan program Fat to Fit (F2F) di bawah kendalian pelatih selebriti, Dee Dee Mahmood yang juga pen­syarah Universiti Malaya (UM).

Kata Salehuddin, kesedaran timbul apabila dia menyedari anak sulungnya berusia empat tahun mula aktif dan dia sukar melayaninya kerana mudah penat setiap kali pulang kerja.

“Saya mula leka dengan makanan selepas 2004. Berat badan mendadak daripada 70 mencecah lebih 100 kilogram menyebabkan saya mudah penat. Anak saya mula aktif berlari dan saya tidak mampu bermain dengan mereka.

“Sejak itu timbul kesedaran, saya perlu berubah demi anak dan keluarga. Malu sebab sebagai ketua keluarga, saya harus menunjuk contoh kepada keluarga mengenai hidup sihat, tetapi sebaliknya memanjakan diri dengan makanan.

“Sebaik Pusat Komuniti & Kelestarian UM (UMCARES) menganjurkan program bawah kendalian Dee Dee, saya terpanggil menyertai program itu. Tiada caj dikenakan, sebaliknya kami diberi insentif iaitu hadiah dan jaminan menurun berat badan andai kami komited terhadap latihan,” katanya.

Salehuddin berkata, sejak pertengahan tahun lalu, dia tekad mengikuti program itu meskipun bimbang program berkenaan memberi kesan kepada kecederaan lama.

“Tidak rugi menyertai program itu, malah banyak manfaat. Saya bukan lakukannya seorang diri, sebaliknya ditemani 29 rakan lain. Boleh dikatakan rasa rendah diri terhakis sehari demi sehari diganti dengan keyakinan apabila berat saya susut lebih tiga kilogram pada awal timbangan.

“Mengenai kecederaan lama, sesetengah senaman dilaras semula agar tidak mencederakan kaki. Program direka Dee Dee boleh dikatakan istimewa apabila saya berjaya menurunkan berat badan tanpa mencederakan kaki.

“Bukan saja senaman dijaga, malah pemakanan dikawal rapi supaya dapat hasil memberangsangkan. Saya percayakan program Dee Dee kerana dia pernah berada di posisi sama iaitu berat badan naik mendadak tetapi kini jauh berbeza. Lalu saya ikut dan hasilnya memang memuaskan,” katanya.

Norhazli Abu Bakar pula mempunyai cerita sendiri di mana pe­ngalaman hampir enam bulan banyak memberi impak kepadanya.

“Mulanya saya fikir mustahil dapat melakukan rutin yang diminta Dee Dee. Dalam kelas awal, kami terpaksa melakukan larian sebanyak enam pusingan. Satu pusingan saja sudah semput, apatah lagi untuk enam pusingan.

“Namun Dee Dee sentiasa ada idea untuk memaksa, sekali gus mendorong kami bertahan dalam setiap latihannya. Kata-katanya memberi kesan iaitu untuk melihat kami sihat dan yakin dengan penampilan diri,” kata Norhazli.

Pemenang cabaran itu, Dr Adrianan Irawati Nur Ibrahim berkata, dia mempunyai misi tersendiri.

Katanya, seperti wanita lain dia mahu selesa ketika mahu membuat pilihan dalam pakaian.

“Kalau badan besar, pilihan baju adalah baju kurung atau jubah untuk menutup bahagian tubuh. Selaku wanita, tentu saya kecewa kerana tidak berpeluang mengenakan pakaian cantik dan berpenampilan menarik.

“Selain putus harapan, berat badan berlebihan menyebabkan saya bersikap lebih negatif. Oleh itu F2F bukan hanya mengurangkan berat badan, malah mengubah sikap saya menjadi lebih positif,” katanya.

Sementara itu Dee Dee berkata, program F2F adalah rangkuman aktiviti kecergasan menyeluruh. Malah, katanya, setiap modul. baik makan hinggalah aktiviti lapangan. direka sebaik mengenal pasti sasaran kumpulan mengikutinya.

“Untuk setiap aktiviti kecergasan, saya ketengahkan semuanya efektif untuk individu selain menimbang kapasiti dengan latar belakang seperti penyakit atau masalah kesihatan yang pernah dihadapinya.

“Selain itu, program ini menyeluruh apabila saya mengenal pasti tabiat makan, tidur dan senaman mereka. Saya pastikan mereka mengikut jadual atau rutin ditetapkan.

“Namun, elemen menyeronokkan dalam aktiviti senaman tetap saya suntik supaya mereka lebih komited dengan rutin dan tidak mustahil menjadi inspirasi keluarga untuk mengikut jejak langkah mereka pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:01 AM